#HEBAT:Maybank perkenal perkhidmatan pengeluaran wang tanpa kad

KUALA LUMPUR 6 Jan. - Malayan Banking Bhd (Maybank) menjangka perkhidmatan pengeluaran wang tanpa kad yang baru diperkenalkan mencatat sebanyak 20,000 transaksi sebulan bagi tahun pertama memandangkan semakin meningkatnya bilangan pengguna telefon pintar dan perbankan dalam talian di sini.

Perkhidmatan yang pelancaran tertutupnya diadakan pada 29 November lalu itu, diperkenalkan dengan rasminya hari ini.

Ia merancang untuk memperluas perkhidmatan ini ke pasaran-pasaran lain,bermula dengan Singapura, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa kawalan atur, kata bank komersial terbesar di Malaysia itu dalam satu kenyataan hari ini.

Perkhidmatan pengeluaran tanpa kad melalui mesin juruwang automatik (ATM) merupakan perkhidmatan pengeluaran pertama seumpamanya di sini yang membolehkan pengeluaran dibuat tanpa kad ATM.

"Setiap bulan, lebih 45 juta transaksi dibuat melalui lebih 2,800 ATM Maybank. Pada masa yang sama, lebih 100 juta transaksi dikendalikan melalui Maybank2u setiap bulan," kata Datuk Lim Hong Tat, Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Maybank Singapura.

"Bilangan transaksi menerusi kedua-dua saluran menyediakan anggaran bagaimana ramainya pengguna yang akan mendapat manfaat daripada perkhidmatan baharu ini," katanya.

Perkhidmatan baharu ini membolehkan pelanggan yang mempunyai akaun perbankan dalam talian memindahkan wang secara terus kepada mana-mana orang di Malaysia, dengan menggunakan nombor telefon mudah alih pendaftaran tempatan.

Selepas menerima dua nombor pengenalan transaksi (ID), penerima kemudiannya boleh mengeluarkan wang tunai dari mana-mana ATM Maybank tanpa kad ATM. - BERNAMA

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: