#Isu Mercedes: Tak puas hati penjelasan MB Kedah?

ALOR SETAR - Sehari selepas penafian Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir mengenai pembelian sebuah Mercedes Benz S300, beberapa blog pro pembangkang semakin rancak memperkatakan isu berkenaan, termasuk tidak berpuas hati dengan penjelasan itu.

Beberapa maklum balas yang dipetik daripada laman sosial meminta kerajaan negeri membuat penjelasan terperinci berikutan ianya membabitkan perbelanjaan negeri.
KBV8 pada Mercedes Benz S320

Turut didedahkan menerusi laman sosial itu, mendakwa Mercedes Benz S320 bernombor pendaftaran KBV8 yang didaftar pada 5 April 2006, kini didaftarkan dengan nombor pendaftaran baharu, iaitu KDQ 9900.

Manakala plat KBV8 diletakkan pada Mercedes Benz S300, yang dikatakan dibeli beberapa bulan lalu. Pertukaran plat itu dikatakan melalui proses retention dan boleh dilakukan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan syarat pembelian kenderaan baharu.

Bekas Setiausaha Akhbar kepada bekas Menteri Besar Kedah (Tan Sri Azizan Abdul Razak), Mohd Helmi Khalid berkata, terdapat beberapa fakta meragukan berhubung penjelasan Mukhriz mengenai penafian membeli sebuah kereta baharu, kelmarin.

Berikutan itu, beliau memohon penjelasan dibuat bagi mengungkai kekeliruan yang timbul, sekiranya benar tiada pembelian dibuat.
KBV8 pada Mercedes Benz S300

“Selama lima tahun saya berkhidmat bawah pentadbiran Allahyarham Azizan, plat KBV8 adalah nombor pendaftaran Mercedes Benz S320, bukan S300.

"Tidak wujud Mercedes Benz S300 di Wisma Darul Aman. Manakala KCX8 model S350 dibeli pada tahun 2011 sebagai kereta rasmi tambahan,” katanya.

Menurutnya, pada ketika itu, hanya terdapat dua buah kereta rasmi yang digunakan oleh Menteri Besar, sehingga Mei 2013.

Mohd Helmi berkata, bagi mendapatkan kepastian, beliau bertanya sendiri kepada pekerja di sebuah kedai aksesori di Jalan Gangsa, yang membuat proses pertukaran plat pada kedua-dua kereta terbabit.

“Saya bukan tuduh melulu, namun timbul kekeliruan apabila plat KBV8 digunakan pada kereta lain yang digunakan oleh Menteri Besar. Adakah nombor plat itu dibeli individu lain dan digunakan pada S300 miliknya, tetapi kenapa ada tertera menteri besar pada plat itu,” katanya.

Difahamkan, Mercedes Benz S300 yang diletakkan plat KBV8 kini berada di Kuala Lumpur, manakala Mercedes Benz S320 yang ditukar kepada plat KDQ 9900 akan digunakan di Kedah.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah, Datuk Mohd Puat Mohd Ali ketika dihubungi, bagaimana pun enggan mengulas lanjut.

Manakala Pemangku Pengarah JPJ Kedah, Fatimah Saad yang kini berada di Kuala Lumpur, berkata, sebarang permohonan pendaftaran baharu kereta rasmi kerajaan negeri perlu didaftarkan bawah SUK dan tidak mempunyai maklumat berhubung perkara itu.

Namun, beliau mengesahkan untuk sebarang proses retention, ia membabitkan sebuah kenderaan baharu dan lama, bagaimana pun tidak dapat memberi butiran sama ada kerajaan negeri membuat permohonan itu, kerana berada di luar kawasan.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: