#P1 Wimax beri penjelasan tidak abai masalah pengguna

Syarikat perkhidmatan internet jalur lebar, P1 WiMAX menjelaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab dalam menyelesaikan masalah pengguna yang menghadapi kesukaran mendapatkan akses kemudahan rangkaian itu.

Syarikat itu mendakwa, berdasarkan rekod, sebanyak 80 peratus aduan berjaya diselesaikan dalam tempoh 24 jam sekiranya pelanggan mengemukakan permasalahan secara terus di pusat perkhidmatan yang terletak di Johor Bahru, Johor, Pulau Pinang dan Lembah Klang.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan P1 WiMAX, sebanyak 20 peratus aduan pula diselesaikan dalam tempoh lima hingga tujuh hari bekerja mengikut tahap keseriusan setiap kes.

"Kami dapati dakwaan bahawa 18,000 pengguna tertipu bukan merupakan jumlah sebenar pelanggan asal perkhidmatan ini kerana jumlah itu dikira berdasarkan jumlah pengikut dalam laman sosial Facebook, P1 WiMAX Sucks.

"Kami telah memantau laman tersebut sekali gus memanjangkan bantuan kepada mereka yang bermasalah dengan menyertakan satu borang Simple Web sebagai aduan rasmi mereka, namun hanya 197 daripada mereka atau 0.01 peratus telah mengisi borang itu," katanya.

Pada Isnin lalu, sekumpulan pengguna perkhidmatan itu yang diketuai Mohd. Rizuani Mohd. Yahya membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam (PPIM) mendakwa kira-kira 18,000 pengguna telah tertipu dengan perkhidmatan jalur lebar syarikat itu selepas kegagalan memberikan kemudahan capaian internet terbaik.

Dalam satu sidang akhbar, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, dakwaan ini berikutan ramai pengguna yang melanggan perkhidmatan tersebut terpaksa berdepan tindakan disenaraihitamkan oleh agensi rujukan kredit, Credit Tip Of Service Sdn. Bhd. (CTOS).

Kenyataan itu menambah, sebagai subsidiari kepada syarikat senaraian awam yang mempunyai beratus-ratus ribu pelanggan sejak tahun 2007, P1 sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Kata kenyataan itu, berdasarkan pemeriksaan syarikat itu berhubung rekod langganan Mohd. Rizuani, dia merupakan bekas pelanggan perkhidmatan P1 yang telah menamatkan langganannya.

Menurut kenyataan itu, bagaimanapun, dia layak untuk menerima bayaran balik sebanyak RM584.75 setelah siasatan terhadap aduannya yang dibuat menerusi saluran betul mendapati keadaan liputan rangkaian di tempatnya adalah lemah.

"Permintaan pihak kami terhadapnya untuk menamatkan laman P1 WiMAX Sucks hanyalah cadangan bebas. Bayaran balik masih dan tetap akan dikeluarkan dan tidak ada kena-mengena dengan sebarang kenyataan di laman sosial itu," katanya.[Utusan Online]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: