#PRIHATIN :Adik Muhammad Faris Tiada Dubur Perlu Pembedahan Segera


KUALA TERENGGANU – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Bagi pasangan suami isteri ini, tiada apa yang lebih menggembirakan jika anak lelaki bongsunya kembali sihat dan hidup sebagaimana kanak-kanak normal lain.

Namun nasib Muhammad Faris Mifzal Ahmad Zaidi, 9 bulan, berbeza dengan kanak-kanak lain apabila dia dikesan menghadapi masalah ketiadaan lubang dubur.
Faris terpaksa membuang najis melalui usus yang dikeluarkan dari perutnya sejak sembilan bulan lalu

Buat masa sekarang, kanak-kanak malang itu hanya mampu membuang najis melalui perut selepas pembedahan pertama, sembilan bulan lalu.

Menurut Ahmad Zaidi Awang, 47, anaknya memerlukan pembedahan kedua yang dijangka akan dibuat pada April ini di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian, Kelantan bagi membolehkan anaknya itu membuang najis seperti biasa.

“Cuma apa yang merunsingkan kami sekeluarga ialah masalah kewangan, macam mana kami hendak ke sana kalau tidak cukup belanja. Kalau ke sana (hospital) pun, terpaksa menyewa kenderaan saudara-mara.

“Kami berharap kerajaan atau mana-mana pihak dapat bantu kami demi memastikan kesihatan Faris kembali pulih,” katanya ketika ditemui di kediamannya di rumah PPRT, Kampung Kepong, di sini.

Zaidi berkata, dia hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan RM20 sehari dan tidak mampu menampung kos yang diperlukan bagi menjalani rawatan berkenaan, di samping perbelanjaan ketika berada di Kelantan nanti.

“Isteri saya, Suliana Rashid, 38, tidak bekerja kerana mempunyai penyakit darah rendah, lagipun empat anak kami berusia 5 hingga 16 tahun masih bersekolah dan memerlukan belanja,” katanya.

Sementara itu, Suliana ketika menceritakan detik-detik menimang cahaya matanya itu berkata, dia yang pada mulanya gembira dengan kelahiran anak kelimanya itu, bertukar hiba apabila doktor mengesahkan Faris tidak mempunyai lubang dubur.
Faris dibedah seawal usia tiga hari apabila doktor terpaksa menebuk perutnya dan mengeluarkan usus untuk memudahkannya membuang najis.

Susulan masalah itu, Faris yang baharu berusia tiga hari, terpaksa bertarung nyawa menghadapi detik-detik pembedahan pada bahagian perut bagi mengeluarkan sedikit usus untuk memudahkannya membuang najis.

“Masa umur dia tiga hari, doktor terpaksa menebuk perut Faris dan sejak itu dia terpaksa menggunakan plastik khas yang perlu dibawanya ke mana sahaja.

“Tetapi tidak lama kemudian, kami terpaksa menukar plastik berkenaan kepada kapas yang disyorkan doktor kerana tidak mampu menanggung kos untuk membeli plastik khas itu lagi,” katanya.

Sehingga kini, usus yang melekat pada perut Faris ditampal dengan kapas dan dibalut kain kerana menurut Suliana, hanya dengan cara itu sahaja dia sekeluarga dapat berjimat.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menyumbang terus ke akaun Maybank 163064025560 milik Suliana Rashid.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: