#SENSASI: Cuepacs tak halang penjawat awam cari duit lebih

KONGRES Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) tidak menghalang penjawat awam untuk melakukan kerja sampingan bagi meneruskan kelangsungan hidup ketika kos sara hidup semakin meningkat sekarang.

Presidennya, Azih Muda(gambar) berkata, penjawat awam masih boleh mencari duit lebih dengan bekerja 'part time' atau kerja lebih masa selagi pekerjaan tersebut tidak menghalang tanggungjawab sebenar mereka.

Menurutnya, kos hidup kini semakin meningkat dan tidak boleh dibendung, maka tiada salahnya sekiranya mereka masih mahu bekerja lebih masa untuk mendapatkan upah.

"Kita juga pernah mencadangkan kepada pihak swasta supaya tidak mengupah pekerja asing agar memberi peluang kepada pekerja tempatan mencari rezeki," katanya kepada Sinar Harian.

Azih berkata, bagaimanapun, untuk mengurangkan beban kos sara yang dihadapi sekarang, salah satu cara rakyat boleh lakukan adalah berbelanja di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang terbukti dapat mengurangkan beban belanja dan kos sara hidup rakyat.

Pada masa yang sama, katanya lagi, Cuepacs juga mencadangkan kerajaan menambahkan pasar tani termasuk mewujudkannya di Putrajaya.

Sementara itu, katanya lagi, Cuepacs mahu kerajaan menaikkan kadar gaji minimum penjawat awam kepada RM1,200 bagi mengimbangi kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Berdasarkan analisis Cuepacs, kos sara hidup yang meningkat antara lapan dan 10 peratus sekarang memberi tekanan kepada penjawat awam khususnya yang tinggal di kawasan bandar besar, memandangkan kenaikan gaji sektor awam hanya sekitar dua hingga 2.5 peratus.

"Kumpulan pelaksana dua, yang gaji asasnya RM800 dan ditambah elaun, berpendapatan RM1,100 sebulan pastinya tidak mampu menampung kos sara hidup terutamanya di bandar besar.

"Pendapatan itu hanya mampu menampung perbelanjaan dua minggu. Akhirnya mereka (penjawat awam) terpaksa mencari kerja lebih masa," katanya.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: