#BADMINTON~Datuk Lee Chong Wei Dan Lin Dan Berpasangan Dalam Pertunjukan

Chong Wei (kiri) dan Lin Dan ketika beraksi bersama.

Datuk Lee Chong Wei buat julung kali akan berpasangan dengan musuh tradisinya Lin Dan untuk membuat perlawanan pertunjukan sempena pembukaan pusat latihan badminton baharu di Lingshui, China Ahad ini.

Chong Wei berkata beliau menyambut baik jemputan Persatuan Badminton China dan bersedia membantu negara lain untuk menyemarakkan sukan badminton.

"Saya menerima jemputan daripada ketua jurulatih China, Li Yongbo untuk menyertai perlawanan pertunjukan itu. Saya akan bergandingan dengan Lin Dan dan kami akan menentang jaguh beregu China, Cai Yun dan Fu Haifen.

"Perlawanan ini juga diadakan untuk peminat badminton di China," katanya kepada pemberita selepas menjalani latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini hari ini.

Dalam pada itu pemain nombor satu dunia itu berkata Malaysia perlu menyediakan pusat latihan badminton yang lengkap di setiap negeri untuk memastikan lebih ramai pemain berbakat dapat ditonjolkan.

"Pada pendapat saya, negara China mempunyai banyak pusat latihan yang lengkap di setiap wilayah, pemain tempatan (wilayah) mereka bagus dan setanding dengan pemain kebangsaan.

"Saya rasa kita juga perlu fikir begitu (menyediakan infrastruktur di setiap negeri) untuk masa depan sukan badminton negara," katanya.

Chong Wei juga berkata beliau akan menghadiri majlis Anugerah Sukan Dunia Laureus 2014 yang julung kali diadakan di Kuala Lumpur pada 26 Mac ini.

"Saya ada menerima jemputan tersebut. Memang bangga sebab akan berjumpa dengan ramai atlet bertaraf dunia dalam pelbagai sukan seperti Formula 1 dan tenis. Saya juga teruja mahu berjumpa dengan atlet terkemuka dunia yang lain pada majlis itu nanti," katanya.

Antara tokoh sukan yang pernah memenangi Anugerah Laureus sejak diadakan 15 tahun lalu ialah Usain Bolt, Sebastian Coe, Novak Djokovic, Roger Federer, Alex Ferguson, Lewis Hamilton, Kelly Holmes, Rafael Nadal, Pelé, Steve Redgrave, Ronaldo, Michael Schumacher, Kelly Slater, Shaun White, Serena Williams dan Zinedine Zidane.

Credit

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: