#INFO TRADISIONAL~Tradisi masak ubi gadung

BALING- Tidak seperti ubi lain, Ubi Gadung antara ubi yang kurang dikenali ramai kerana ianya sejenis ubi yang bertoksik yang boleh mengakibatkan kesan pening dan muntah kepada mereka yang memakannya.

Sehubungan itu, tidak ramai yang berani untuk menyediakan ubi ini walaupun ianya mudah diperolehi di kawasan hutan di negara ini.

Tetapi, bagi masyarakat Baling, Ubi Gadung bukan merupakan perkara asing kerana ubi ini pernah menjadi makanan ruji mereka pada satu ketika dulu.

Tragedi mogok lapar pada tahun 1974 di Baling juga dikaitkan dengan Ubi Gadung yang dikatakan menjadi punca kematian penduduk di situ.

Bagaimanapun, ianya adalah sekadar khabar angin dan tiada bukti sehingga kini kematian yang disebabkan oleh ubi tersebut.

Justeru, tidak hairanlah ubi ini masih lagi menjadi makanan petang kepada masyarakat Baling sehingga ke hari ini.

Bagaimanapun, penyediaan ubi gadung ini hanya dilakukan oleh mereka yang berpengalaman bagi memastikan ianya bebas dari sebarang toksik yang boleh memberikan kesan kepada manusia.

Bedah Md Noh,59, dari Kampung Sera Bawah, Pulai merupakan satu-satunya penduduk di kampung itu yang masih mengetahui cara penyediaan ubi bertoksik ini.

Tunjuk ajar yang diberikan oleh ibu bapanya sebelum ini menjadikannya orang yang dipercayai untuk menyediakan makanan itu.

Empat hari masak

Ibu kepada seorang anak ini berkata, penyediaan ubi gadung bukan perkara mudah kerana ianya perlu mengambil masa sekurangnya empat hari sebelum dapat menikmatinya.

Menurutnya, tempoh itu amat sesuai untuk bagi memastikan ubi berkenaan bebas dari sebarang racun seterusnya memberikan kesan kepada pemakannya.
"Kalau masak macam itu sahaja, memang masuk hospital, disebabkan itu, prosesnya amat rumit walaupun hanya untuk menikmati sepinggan ubi ini," katanya.

Peram dengan air garam

Bedah berkata, ubi yang siap yang dihiris secara kecil akan direndam dengan air garam bersama daun getah ipoh selama tempoh tiga hari.

"Dulu, kita rendam dalam sungai, sekarang dah ada baldi, jadi, kita akan letak dalam baldi sahaja. Selepas rendam, kita kena basuh lagi sampailah isi ubi menjadi putih seterusnya direbus," katanya
Menurutnya, benda yang paling penting adalah untuk membuang beberapa 'bahagian' yang menjadi punca mabuk dan pening kepada manusia.

"Sebelum kita rendam, bahagian yang berwarna hitam pada ubi tersebut harus dibuang walaupun ianya bersaiz kecil.

"Cara pembuangannya juga berbeza, bukan sekadar memotong bahagian yang hitam, tetapi ada caranya, ramai yang tidak tahu cara membuang bahagian itu dengan betul. Disebabkan itu, ubi akan masih bertoksik," katanya.

Makanan ruji orang Baling.

Bedah berkata, Ubi Gadung pernah menjadi makanan ruji satu ketika dulu kerana ianya juga mengenyangkan sama seperti nasi.

"Sekarang, biasanya dimakan pada waktu petang, tetapi, dulu, inilah makanan pagi, tengahari, petang dan malam

"Setiap rumah, mesti ada stok ubi ini, sebab ianya banyak tumbuh dalam hutan," katanya kepada Sinar Harian.

Penyediaan secara bergotong royong
Bedah berkata, disebabkan penyediaan ubi ini yang rumit, ianya dilakukan secara bergotong royong oleh penduduk setempat.

Menurutnya, lelaki akan membantu mecari ubi gadung di dalam hutan manakala perempuan membantu untuk mengupas dan menghiris ubi ini.

"Memang meriah, bila dah masak, semua penduduk dapat merasai ubi ini. Biasanya memang dilakukan secara beramai, jarang orang sekarang buat sendiri, sebab susah dan rumit," katanya.

Makan dengan isi kelapa.

Ubi Gadung kebiasaanya dimakan dengan kelapa malah ada juga yang meletakannya dalam masakan kari bergantung kepada kesukaan orang itu.

Menurutnya, rasa ubi gadung memang lain dari ubi biasa dan ianya juga boleh dimasak menjadi kerepek sama seperti ubi kentang.

"Tetapi, rasanya tak sama dengan ubi kentang, ubi gadung lebih berlemak dan manis, disebabkan itu, orang sanggup tunggu empat hari hanya untuk menikmati beberapa pinggan ubi ini sahaja," katanya.

Tak ramai yang tahu masak

Salah seorang penduduk, Norhafiza Che Teh,39, berkata, kebanyakan golongan muda tidak mengetahui cara penyediaan ubi ini melainkan mereka yang berumur.

"Semakin lama, program masak ubi gadung ini semakin berkurangan. Ini kerana tidak ramai yang berani untuk menyediakan ubi ini kerana ianya boleh mengakibatkan kesan kepada manusia.

"Jadi, yang tinggal hanya golongan tua, itupun kalau mereka masih bertenaga. Justeru, tidak hairanlah tradisi memasak ubi ini berkurangan," kataya.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: