#PANAS:Harga minuman melampau di stesen minyak dan kedai 24 jam

Harga minuman yang dijual di stesen minyak jauh lebih mahal berbanding kedai runcit biasa.

JOHOR BAHRU - Dalam kesibukan pihak bertanggungjawab membuat pemantauan harga di pasar awam dan kedai runcit, kedengaran suara pengguna yang mahukan pemantauan turut dilakukan di stesen-stesen minyak dan kedai 24 jam.

Rahimah Rahim, 50, berkata, terlalu banyak perbezaan harga makanan dan minuman yang dijual di stesen minyak dan kedai 24 jam berbanding dengan harga jualan di kedai runcit.

Menurutnya, ada sebahagian barangan runcit menunjukkan perbezaan ketara sehingga 0.80 seunit sedangkan barangan sama dijual dengan harga jauh lebih murah di kedai runcit biasa.

“Saya terkejut selepas membeli air kotak yang biasa dibeli di kedai runcit dengan harga RM6.00 sekotak, tetapi dijual pada harga RM6.80 di sebuah stesen minyak.

“Apabila ke kedai 24 jam pun harga yang dijual lebih kurang sama dengan harga di stesen minyak.

“Rasa tertipu pun ada kerana perbezaan harga terlalu tinggi. Kalau setakat RM0.10 hingga RM0.20 kita tak berkira sangat, tapi ini sampai RM0.80,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Rahimah berkata, dalam situasi cabaran hidup sekarang peniaga tidak sepatutnya mengambil kesempatan dengan meletakkan harga keterlaluan sehingga membebankan pengguna.

Menurutnya, meskipun ada suara yang mahukan pengguna memboikot kedai yang mahal, tetapi dalam situasi yang tidak dijangka barangan berkenaan terpaksa dibeli apabila kedai runcit murah ditutup.

“Apabila saya merungut ada yang cakap tak perlu berbelanja di stesen minyak atau kedai 24 jam walaupun untuk makanan ringan, tapi kemahuan anak-anak tidak sama dengan keinginan kita yang sudah dewasa.

“Saya pelik apabila peniaga stesen minyak dan kedai 24 jam ini sesuka hati meletakkan harga malah jauh lebih mahal daripada kedai runcit biasa padahal barangan yang sama.

“Saya mohon pihak bertanggungjawab jangan terlepas pandang membuat pemantauan harga terhadap peniaga yang kononnya untuk kelas atasan ini kerana harga yang dikenakan kadang-kala tidak masuk akal sehingga membebankan kami,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian ke beberapa stesen minyak sekitar bandar raya ini mendapati terdapat perbezaan harga yang dijual jika dibandingkan dengan kedai runcit.

Sebagai contoh harga minuman air tin minuman malt coklat terkenal dijual pada harga RM2.30 di stesen minyak sedangkan harga kedai runcit hanya RM2.00.

Begitu juga dengan harga minuman tenaga yang dijual dengan harga RM3.00 dan RM3.10 di stesen minyak, tetapi pengguna boleh mendapatkan minuman itu pada harga RM2.80 di kedai runcit biasa.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: