#SENSASI~Cadang nama Agong untuk Jambatan Kedua P Pinang


Ilustrasi Jambatan Kedua Pulau Pinang.


GEORGETOWN - Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Pulau Pinang hari ini mencadangkan Jambatan Kedua Pulau Pinang dinamakan bersempena nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Setiausahanya Ahmad Yakqub Nazri berkata pemilihan nama Yang di-Pertuan Agong itu adalah bagi memartabatkan institusi diraja.

"Saya rasa sudah tiba masanya rakyat mengeluarkan cadangan menamakan jambatan kedua ini sebagai Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah bersempena nama Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Kedah.

"Kami mewakili rakyat begitu bangga apabila jambatan ini dibina di negeri ini dan nama Tuanku terpahat pada jambatan terpanjang di Asia Tenggara dan ketiga terpanjang di dunia serta sebagai mercu tanda negara yang baharu," katanya dalam sidang akhbar di sini.

Beliau yakin seluruh rakyat negeri ini menyokong cadangan itu dan berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kerajaan negeri dan pihak Jambatan Kedua Sdn Bhd dapat menerima cadangan itu.

Ahmad Yakqub berkata pihaknya telah menyediakan surat berhubung cadangan itu dan akan dihantar kepada perdana menteri dan Istana Negara hari ini.

Jambatan sepanjang 24km itu - 17km daripadanya merentasi laut dan tujuh kilometer di daratan - dibina dengan reka bentuk bersifat lestari alam sekitar bagi menghubungkan Batu Kawan di tanah besar dan Batu Maung di bahagian pulau.

Pembukaan jambatan itu dijadual bulan depan, dijangka mengurangkan kesesakan di Jambatan Pulau Pinang sedia ada sebanyak 25 peratus.

Jambatan berharga RM4.5 bilion dibina kerajaan persekutuan itu merupakan jambatan terpanjang di Asia Tenggara. Ia dijangka mampu menampung 100,000 kenderaan sehari. - Bernama

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: