#SENSASI~Hidup penoreh getah makin terhimpit kerana penurunan harga

Penoreh sekitar Mukim Kurung Hitam kini hidup terbeban.

KUALA NERANG - Pekebun getah sekitar Mukim Kurung Hitam, dekat sini, merayu kerajaan supaya membantu pekebun kecil mengekalkan harga getah yang dikatakan semakin turun hingga membebankan keluarga pekebun, akhir-akhir ini.

Penoreh, Mohd Sobri Mohd Hassan, 44, dari Keda Kampung Belukar berkata, harga getah yang semakin turun akhir-akhir ini memberi tekanan kepada keluarga yang bergantung pendapatan dari hasil getah.

Menurutnya, nasib penoreh getah kini boleh dikatakan seperti pada era 80-an kerana walaupun harga getah sekarang sekitar RM2.60 sekilogram (kg) tetapi kos kehidupan yang tinggi seperti tidak ada nilainya.

“Masalah ini bertambah perit bagi mereka yang menoreh secara sistem pawah yang mana mereka terpaksa membahagikan hasil dengan pemilik kebun getah.

"Kami hanya mendapat sekilo pada harga getah sekarang ialah RM1.30 sahaja dan hendak beli gula pun dah tak mampu,” katanya yang mempunyai empat anak bersekolah.

Oleh itu, dia berharap kerajaan dapat memberi subsidi kepada penoreh getah seperti yang diberi kepada nelayan dan petani kerana getah juga merupakan eksport utama negara selama ini.

Bagi Jewe Jeman, 60, jika kerajaan tidak masuk campur dalam menentukan harga, sudah pasti harga getah turun lagi.

Katanya, selain harga getah semakin menurun, masalah kuantiti hasil yang semakin berkurangan juga turut menjadi masalah kepada penoreh terutamanya pada musim kemarau ini sebab daun getah
akan luruh dan mengeluarkan pucuk hingga menjejaskan pengeluaran.

“Dulu, setiap 10 hari saya mampu memperoleh 100kg iaitu RM140 untuk kebun seluas 0.6 hektar, tetapi kini ia mampu menghasilkan 60kg sahaja,” katanya.

Seorang peniaga makanan, Shahidan Sabu, 43, berkata, pendapatannya sejak kejatuhan harga getah menyebabkan perolehannya juga turut merosot.

Katanya, dahulu setiap kali penoreh pergi atau pulang bekerja, mereka akan singgah ke kedainya untuk membeli makanan dan minum tetapi kini sebaliknya.

“Saya yakin kesan kejatuhan harga getah menyebabkan penoreh terpaksa berfikir beberapa kali untuk membeli barang. Kesan kejatuhan getah kini turut dirasai saya yang kebanyakan pelanggan terdiri daripada penoreh,” katanya.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: