#GEMPAR~Bas 45 penumpang jatuh gaung, tiada terkorban

Keadaan sebuah bas persiaran yang terjatuh ke dalam gaung sedalam 15 meter di Kilometer 37 Jalan Wang Kelian dekat Padang Besar, hari ini. - Foto Bernama

KANGAR - Sebuah bas membawa 45 penumpang termasuk pemandu terbabas ke dalam gaung di laluan berbukit di Wang Kelian, hari ini.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Perlis Mohd Fadzil Haroon berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian pada 9.40 pagi itu.

Penumpang bas pelancong dari Kepala Batas, Pulau Pinang itu terdiri daripada 33 wanita, enam lelaki dan lima kanak-kanak, katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Rombongan terdiri daripada peserta Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) kawasan Kepala Batas, Pulau Pinang yang bertolak pada 7 pagi tadi untuk membeli-belah di pekan sehari Wang Kelian, di sempadan Malaysia-Thailand.

Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Sementara itu, seorang mangsa Md Sharif Hashim, 64, dari Kampung Pokok Tampang, Tasik Gelugor yang duduk di bahagian depan mengucapkan syukur kerana hanya mendapat kecederaan ringan.

"Semasa bas mendaki bukit, saya melihat pemandunya tidak dapat memusing stering lalu bas tersebut terus menjunam ke dalam gaung. Kami terpaksa memecahkan cermin tingkap untuk keluar.

"Sebaik dapat keluar saya lihat beberapa anggota rombongan pengsan dan ramai yang pening. Saya juga tidak tahu bila bantuan tiba. Sedar-sedar bantuan perubatan (ambulans) tiba," katanya ketika ditemui di HTF di sini.

Seorang lagi mangsa, Tariah Awang Kecil, 42, berkata: "kami mengucap banyak-banyak semasa bas menjunam,".

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat, khususnya petugas HTF dan kerajaan Perlis.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri, Jafperi Othman dan pegawai Baitulmal Perlis turut berada di HTF untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa.

Sebuah bas turut disediakan untuk menghantar semua mangsa pulang ke Kepala Batas selain menyediakan makanan untuk mangsa, kata Jafperi. - Bernama

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: