#HAMPA~Kemarau Piala Thomas berterusan,Malaysia Kalah Dengan Jepun Di Pentas Final

Gandingan Tan Wee Kiong (kanan) dan Goh V Shem menghidupkan harapan Malaysia apabila mengutip mata penyamaan bagi mengheret Jepun ke perlawanan penentuan.

KAPTEN Piala Thomas, Liew Daren gagal merealisasikan impian jutaan rakyat Malaysia untuk menamatkan kemarau 22 tahun menjulang trofi berprestij itu apabila gagal menyumbang mata kemenangan sekali gus menyaksikan skuad negara tewas 2-3 kepada Jepun dalam perlawanan final di Stadium Siri Fort, New Delhi, India malam tadi.

Daren yang tewas dalam dua perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini sekali lagi gagal untuk menebus kesilapan itu apabila ditundukkan Takuma Ueda 12-21, 21-18 dan 17-21 dalam pertarungan yang penuh mendebarkan.

Kekalahan ini sekali gus mengulangi perlawanan final di Guangzhou 2002 apabila skuad negara tewas 2-3 kepada Indonesia.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia muncul juara Piala Thomas adalah pada kejohanan 1992 di Kuala Lumpur.

Terdahulu, seperti biasa, Datuk Lee Chong Wei melunaskan janjinya apabila mengungguli mata pertama perlawanan itu menewaskan perseorangan pertama Jepun, Kenichi Tago 21-12 dan 21-16 dalam masa 45 minit.

Bagaimanapun, peluang skuad negara untuk menambah mata tidak kesampaian apabila Tan Boon Heong-Hoon Thien How tewas kepada Kenichi Hayakawa-Hiroyuki Endo 21-12, 17-21 dan 19-21 pada aksi kedua pertemuan itu.

Situasi kem negara semakin mendebarkan setelah harapan yang diletakkan kepada perseorangan kedua negara, Chong Wei Feng untuk menambah mata kedua tidak kesampaian apabila turut tumpas 15-21 dan 17-21 kepada Kento Momota sekali gus menyebabkan Malaysia ketinggalan 1-2.

Goh V Shem-Tan Wee Kiong juga cemas seketika apabila tewas kepada Keigo Sonoda-Takeshi Kamura di set pembukaan, namun bangkit dengan persembahan lebih baik dalam dua set berikutnya untuk menang 19-21, 21-17 dan 21-12.

Kejayaan V Shem-Wee Kiong gagal menyuntik semangat Liew Daren selaku perseorangan ketiga apabila ditumbangkan Ueda.

Untuk rekod, Malaysia menjuarai Piala Thomas pada tahun 1949, 1952, 1955, 1967 dan 1992.

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: