#INFO SOLAT~6 Solat Dengan Memakai Kasut

Dibolehkan mendirikan solat-solat fardhu dan sunat dengan memakai kasut bagi lelaki dan wanita, samada dalam keadaan mastautin atau musafir, samada dalam suasana senang atau sulit. Syaratnya hanya satu - dipastikan dengan penglihatan yang biasa bahawa kasut itu tiada kesan najis yang nyata. Berikut disalin beberapa dalil-dalil yang membolehkan solat dengan berkasut -

[01] Said bin Yazid al-Azdiy radiallahu-anha katanya: Aku pernah bertanya Anas bin Malik: Adakah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam pernah solat dengan memakai kasut? Anas menjawab: Ya! [1]

[02] Ibnu Abi Aus berkata bahawa Pakciknya menerangkan bahawa: Saya melihat Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam menunaikan solat dengan memakai kedua-dua kasutnya.[2]

[03] Abdullah radiallahu-anha menerangkan: Sungguh kami (para sahabat) melihat Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam mengerjakan solat dengan memakai sandal dan kasut. (Adakalanya bersandal, adakalanya berkasut - P)[3]

[04] Amir bin Syu'aib menerangkan bahawa datuknya (yang hidup di zaman Nabi SAW) telah berkata: Aku melihat Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam mengerjakan solat adakalanya dengan tidak berkasut dan adakalanya dengan berkasut.[4]

Demikian beberapa hadith yang menerangkan bahawa Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam pernah bersolat dengan memakai kasut.

Perbuatan beliau ini diikuti oleh para sahabatnya dan majoriti ahli ilmu juga menghujahkan kebolehan ini. Berkata Imam Tirmizi ketika meriwayatkan hadith yang pertama di atas - Dalam bab ini terdapat hadith dari Abdullah ibnu Mas'ud, Abdillah bin Habibah, Abdillah bin Amr, Amr bin Huraits, Syaddad bin Ans, Ats Tsaqafi, Abu Hurairah dan Atha' dari Bani Hanifah. Dan hadith ini diamalkan oleh para ahli ilmu.[5]

Demikian juga berkata Imam al-Iraqi' dalam syarhnya terhadap kitab Sunan Tirmizi, bahawa solat memakai kasut diamal dan disukai oleh Umar al-Khattab, Uthman ibnu Affan, Abdullah ibnu Abbas, Anas bin Malik, Salamah bin al-Akwa dan Aus ath-Tsaqafi; radiallahu-anhum. Di kalangan para tabien pula kita dapati yang menyukai solat berkasut ialah Sa'id bin Musaiyab, al-Qasim, Urwah bin Zubair, Salim ibnu Abdullah, Atha ibnu Yasar, Atha ibnu Abi Rabah, Mujahid, Thawus, Syuraih al-Qadhi, Abu Majlas, Abu Amer as-Syaibani, Aswad ibnu Yazid, Ibrahim an-Nakhai, Ibrahin at-Taimi, Ali bin Husain dan anaknya Ja'afar; semoga Allah merahmati mereka semua. Selain itu sahabat Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang utama seperti Abdullah ibnu Umar dan Abdullah ibnu Mas'ud radiallahu-anhuma pernah memarahi orang yang sengaja membuka kasut ketika solat tanpa alasan kerana dianggap sengaja tidak menyukai sunnah. Demikian juga diriwayatkan dari Imam Ibrahim an-Nakhai seorang tokoh ilmuan generasi pertama bahawa beliau tidak menyukai orang yang sengaja membuka kasut tanpa alasan ketika hendak bersolat.[6] Walhasil daripada himpunan hadith serta pengamalan para sahabat dan hujah para ilmuan, dapat kita simpulkan bahawa solat dengan memakai kasut adalah kebolehan dan keharusan agama yang nyata.

Sebenarnya sebab permulaan hukum diharuskan memakai kasut di kala bersolat ialah bagi membezakan diri daripada perbuatan ibadah kaum Yahudi. Islam sememangnya sejak dari awal kelahirannya amat menekan kepada umatnya agar membezakan diri dari kaum-kaum yang lain, seperti cara peribadatan, cara pakaian, adat kebiasaan dan sebagainya. Tuntutan ini ialah bagi membuktikan Islam adalah agama yang unggul dan ia tidak bercampur aduk atau hasil tiruan dari agama lain. Ia juga bagi membuktikan kemuliaan Islam atas agama atau adat lain-lain kerana Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai Allah Subhanahu waTa'ala dan tidak mungkin ia boleh menerima dan bergabung dengan unsur-unsur keagamaan lain atau peradaban manusia. Membezakan diri dari agama lain juga adalah supaya kita dapat memastikan bahawa amal ibadah kita adalah tulen dari ajaran Islam yang sejati dan bukan pinjaman agama lain.

Sejarah solat berkasut bermula di awal penghijrahan umat Islam ke Madinah di mana ketika itu memang wujud beberapa kumpulan kaum Yahudi yang tinggal di sana. Apabila Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan umat Islam mendirikan solat di Masjid yang baru di bina dengan tidak berkasut maka berkata penduduk kaum Ansar Madinah bahawa orang Yahudi juga beribadah tanpa berkasut. Maka dengan itu Nabi sallallahu-alaihi-wasallam memerintahkan agar umat Islam bersolat dengan berkasut, dengan sabda beliau - Berperilakulah yang berlawanan dengan orang-orang Yahudi kerana mereka tidak mengerjakan solat dengan sandal atau kasut mereka.[7]

Walaubagaimanapun kebolehan solat berkasut ini tidaklah khusus bagi suasana kehadiran kaum Yahudi sahaja kerana kita dapati di kemudian ketika dan suasana, Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan para sahabat sering solat berkasut di mana jua berada, samada di hadiri sama oleh kaum Yahudi atau tidak. Demikian juga oleh genarasi-generasi selepas kewafatan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam.

Syarat bagi solat berkasut.

Hanya ada satu syarat bagi solat memakai kasut, iaitu memastikan dengan penglihatan biasa bahawa tiada kesan-kesan najis atau kotoran yang melekat padanya. Hadith berikut dari Abu Said al-Khudri radiallahu-anhu dijadikan hujah:

Bahawasanya Nabi sallallahu-alaihi-wasallam solat dengan berkasut. Dikala sedang solat beliau membuka kasutnya lalu perbuatan ini diikuti oleh para makmum. Sesudah selesai solat Nabi sallallahu-alaihi-wasallam bertanya: Mengapa kalian membuka kasut-kasut kalian ? Mereka menjawab: Kami melihat tuan membukanya maka kamipun membukanya. Mendengar itu Nabi sallallahu-alaihi-wasallam berkata: Jibril datang kepadaku mengkhabarkan bahawa pada kasutku ada kotoran. Maka apabila kamu datang ke masjid hendaklah kamu balikkan kasut dan lihatlah apakah ada kotoran di telapaknya. Jika ada sapulah ia dan gosoklah ia dengan tanah, kemudian solatlah dengan memakainya. [8]

Dari hadith di atas dapat difahami bahawa kasut tersebut mestilah bersih dari kotoran atau najis. Kepastian samada terdapat kotoran atau tidak adalah dengan melihatnya dengan mata kasar dan tidaklah dituntut sehingga yang lebih dari itu. Jikalau ternampak kesan kotoran maka memadai dengan menggosoknya atas tanah, tiada lain kecuali tanah. Sekalipun jikalau kotoran itu berupa najis samada kering atau basah maka adalah memadai dengan menggosoknya atas tanah, selari dengan ajaran Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dalam hadith berikut - Apabila di antara kamu memijak najis dengan kasutnya maka debu tanahlah yang mensucikannya.[9] Dari hadith ini majoriti ahli ilmu menukilkan hukum bahawa memadai mensucikan najis pada kasut dengan hanya menggosoknya ke tanah, samada najis kering atau basah.[10] Yang dimaksudkan sebagai majoriti itu ialah Imam al-Auza'iy, Abu Hanifah, Abu Yusuf, Abu Tsaur, Ishaq, Ahmad dan as-Shafie dalam qaul qadimnya[11]. Tidak boleh menggunakan permukaan lain untuk membersih kesan najis pada kasut seperti lantai, permaidani, alas pintu atau lain-lain. Jikalau tiada tanah maka alternatifnya ialah dengan pembasuhan air.

Daripada hadith di atas juga dapat dipelajari beberapa fakta selainnya iaitu -

1. Kebolehan menyucikan najis dengan menggosoknya di tanah hanya di bolehkan bagi najis di kasut dan tidak bagi di lain-lain bahagian seperti pakaian atau kulit. Jikalau ada najis di pakaian atau kulit maka ia wajib di bersihkan sebagaimana yang di ajar syari'at dalam bab kebersihan najis.[12] [ Najis ringan (Mukhaffafah), najis pertengahan (Mutawasitah) dan najis berat (Mughallazah) ]

2. Jikalau sedang solat lalu disedari ada kotoran yang terkena atau terlekat maka boleh dibersihkan atau dipisahkan kotoran itu dan kemudian meneruskan solat di mana yang tertinggal. Pergerakkan yang harus dalam solat tidaklah membatalkan solat itu malah ia tetap sah (Sila lihat huraian ini dalam bab akan datang). Contohnya jikalau disedari atau diberitahu orang bahawa di songkoknya ada jatuhan tahi burung maka dibolehkan membuka songkok itu, meletaknya di tepi dan kemudian teruskan solat. Hanya jikalau kotoran itu berupa najis yang banyak dan tidak boleh di bersihkan terus selain dengan air atau sebagainya maka adalah sebaiknya diulangi solat itu semula.[13]

3. Para sahabat apabila mereka dapati Nabi sallallahu-alaihi-wasallam melakukan sesuatu perkara dalam hal ibadah, mereka terus akan mengikutinya tanpa keberatan atau banyak alasan. Perhatikanlah hadith di atas - apabila sahaja Nabi sallallahu-alaihi-wasallam membuka kasut ketika sedang solat, para sahabat terus mengikuti beliau tanpa bertanya atau ragu-ragu. Di dalam banyak hadith-hadith lain juga kita dapati para sahabat segera mengikuti apa yang dilakukan oleh Nabi sallallahu-alaihi-wasallam terutamanya dalam hal-hal ibadah dan keagamaan tanpa banyak soal atau kerenah. Selepas diikuti barulah ditanya atau diberitahu akan sebab-sebab sesuatu perbuatan tersebut. Beginilah sepatutnya contoh yang patut kita umat Islam teladani, iaitu taat dan patuh kepada sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam tanpa apa-apa keraguan atau keberatan. Sikap sebegini dipuji oleh Allah Azza waJalla dalam firmanNya -

Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan kami taat"; dan mereka itulah orang-orang beroleh kejayaan. [Maksud surah an-Nur 24, ayat 51]

4. Pengakhir hadith ini menunjukkan anjuran serta keutamaan memakai kasut dalam solat, iaitu dari sabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang bermaksud ………kemudian solatlah dengan memakainya. Di kalangan ahli fiqh terdapat perbincangan mendalam samada solat berkasut itu adakah ianya sunat atau harus hukumnya. Walaubagaimanapun yang pasti ia adalah sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang mulia yang patut kita ikuti apabila wujud suasana yang menjemputnya.

Sukar atau senang suasana bukanlah penentu bagi solat dengan kasut atau tidak, sepertimana yang diterangkan oleh Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie - Solat dengan memakai kasut adalah boleh walaupun mudah membukanya. Dan ini bukanlah kemaafan bagi kasut yang panjang sahaja (kasut But - P) kerana mengingat sukar membukanya. Najis-najis yang terdapat pada kasut itu dimaafkan sesudah digosok kasut itu dengan tanah. Bahkan sebahagian ulama' berkata - demikianlah cara yang lebih utama( iaitu solat berkasut-P).[14]

Manakah lebih utama - Solat berkasut atau tanpa kasut ?

Sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang mulia memperlihatkan bahawa beliau adakalanya solat berkasut dan adakalanya tidak. Yang pasti ialah apabila solat di rumah beliau tidak berkasut manakala apabila beliau solat di masjid atau di kala musafir beliau memakai kasut. Ini adalah kerana masjid di ketika itu tidak di alaskan permaidani dan solat di kala musafir jarang-jarang di alas sejadah. Maka apabila berhadapan dengan dua suasana berlainan ini Nabi sallallahu-alaihi-wasallam solat dengan tidak berkasut dan juga solat dengan berkasut, bersesuaian dengan suasananya itu.

Walaubagaimanapun suasana masjid mahupun surau di zaman kini memperlihatkan ianya dilengkapi dengan susunan jubin yang kemas atau dengan permaidani yang indah maka sudah tentu tidaklah dituntut solat dengan memakai kasut di atasnya. Hanya apabila wujud suasana yang memberikan pilihan bagi kita untuk bersolat dengan kasut atau membukanya, atau dalam suasana yang lebih mudah dengan berkasut maka dalam kes-kes seperti ini adalah lebih baik untuk meneruskan solat dengan memakai kasut. Ini adalah kerana sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam sebagai seorang perutusan Allah yang dimuliaiNya adalah lebih utama untuk kita ikuti dari pendapat sendiri atau keraguan nafsu.

Diulangi penerangan Imam Ibnu Qayyim dalam hal ini - Di antara yang tidak menyenangkan hati orang yang was-was ialah solat dengan berkasut padahal ianya adalah sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan para sahabatnya. Imam Ahmad pernah ditanya tentang solat berkasut maka beliau menjawab: 'Demi Allah, solat berkasut itu adalah baik benar.' [15]

Kebanyakkan orang enggan solat dengan berkasut kerana ragu-ragu akan kebolehannya, atau meragui akan sahnya solat kerana kasut yang tidak bersih atau merasakan solat itu lebih afdal dengan tidak berkasut. Semua ini adalah pertanyaan yang hanya merugi dan menjauhkan diri dari sunnah yang sepatutnya kita pegangi. Keraguan najis pada kasut dapat ditepis dari hati dengan melihat pada tapaknya, jikalau ada najis maka ia boleh dibersihkan dengan hanya menggosok di tanah dan jikalau tiada tanah maka barulah dituntut agar dibuka dan solat tanpanya. Keraguan yang berlebihan tidak perlu wujud dalam hal ini kerana kasut di zaman Nabi sallallahu-alaihi-wasallam sudah tentu lebih terdedah kepada pijakkan najis dari kasut kita masa kini yang berpijak hanya dijalan atau lantai yang terjaga.

Perlaksanaan solat samada berkaedahkan berdiri atau duduk dalam pesawat terbang atau dalam apa jua bentuk kenderaan seperti keretapi, bas ekspres, teksi dan sebagainya amat menjemput agar sunnah solat berkasut di amalkan. Sekalipun seseorang itu mempunyai ruang dan suasana yang membolehkan dia membuka kasut tetapi perbuatan ini sememangnya tidak perlu. Adakah sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan kemudahan agama tidak memadai untuk dia terima dan amalkan atau adakah perasaan hati lebih patut diutamakan ? Sudah tentu tidak.

Pengamalan sunnah yang lebih indah ialah apabila seseorang itu hendak bersolat lalu dia berwudhu' dengan mempraktikkan sunnah menyapu di atas kasut (tanpa membuka dan membasuh kaki), kemudian diteruskan bersolat dengan kasut itu juga. Ini dapat kita teladani dari perbuatan sahabat Nabi sallallahu-alaihi-wasallam -

Hamman radiallahu-anhu menerangkan - Aku melihat Jarir membuang air kecil lalu setelah itu dia minta diambilkan air. Kemudian dia berwudhu' dan diakhir wudhu'nya itu dia hanya mengusap kedua kasutnya. Setelah itu dia solat. Kemudian dia ditanya mengapa dilakukan keadaan sedemikian. Jawabnya: Aku pernah melihat Nabi sallallahu-alaihi-wasallam melakukan seperti yang aku lakukan tadi. [16]

Kesimpulan
1. Dibolehkan solat dengan memakai kasut samada dalam suasana sukar atau senang, samada di tempat asal atau musafir.
2. Syaratnya ialah dengan penglihatan biasa, dipastikan bahawa kasut itu tidak ternampak kesan najis. Jikalau ada maka cara pembersihan ialah dengan menggosoknya di tanah. Jikalau tiada tanah maka wajib dicuci dengan air atau dibukakan kasut sebelum solat. Tiada alternatif lain bagi membersihkan najis yang melekat di kasut selain tanah atau air.
3. Solat berkasut adalah satu sunnah dan rukhsah agama yang tersangat patut diamalkan.

[1] Maksud hadith riwayat Imam Bukhari, Muslim dan ramai lagi; al-Bayan - no: 0309 , Sunan Tirmizi - no:0396.

[2] Maksud hadith dari Sunan Ibnu Majah - no: 1037.

[3] Maksud hadith dari Sunan Ibnu Majah - no: 1038. Hadith ini tidak mencapai taraf sahih kerana diriwayatkan oleh beberapa perawi yang dinyatakan sebagai lemah ingatannya, demikian kajian oleh Imam Ibnu Hajar al-Haithami dalam Majma az-Zawaa'id. Walaubagaimanapun ianya disokongi oleh banyak hadith-hadith yang setujuan denganya.

[4] Maksud hadith riwayat Imam Ibnu Majah dan Abu Daud, Sunan Abu Daud - no: 0623.

[5] Imam Tirmizi dalam kitab Sunannya, 1/495.

[6] Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie - Koleksi Hadith-hadith Hukum, 2/332-333.

[7] Maksud hadith dari Syaddan bin Aus dari ayahnya, Sunan Abu Daud - no: 0622.

[8] Maksud hadith dari Sunan Abu Daud - no: 0620.

[9] Maksud hadith dari Abu Hurairah dan A'isyah radiallahu-anhuma, Sunan Abu Daud - no: 361, 362, 363. Hadith ini pada asalnya terdapat perselisihan terhadap status kekuatannya tetapi dinyata sahih oleh Imam as-Sha'nani kerana banyaknya jalan-jalan periwayat, setiapnya menguatkan yang lain. [Subul-us-Salam, 1/409-410.]

[10] Imam al-Baghawi dalam kitabnya Syarh as-Sunan , dinyatakan oleh Imam Syamsul Haq-Abadi dalam kitabnya - Aunul Ma'bud Syarh Sunan Abu Daud, 2/47-48.

[11] Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie - Koleksi Hadith-hadith Hukum, 2/51-52. Imam as-Shafie dalam qaul jadidnya berkata bahawa kebolehan ini hanya bagi najis yang kering, tidak bagi yang basah. Pendapat ini dianalisa sebagai tidak tepat oleh Imam as-Sha'nani dan yang benar adalah boleh bagi najis yang basah juga bagi yang kering. Penjelasan Imam as-Sha'nani dalam hal ini adalah agak panjang lengkap dengan dalil-dalil dan dirasakan tidak memadai untuk dimuatkan semuanya dalam tulisan ini. Sila rujuk kitab beliau Subul-us-Salam, 1/409-412.

[12] Imam as-Sha'nani - Subul-us-Salam, 1/410-411.

[13] Dikatakan sebagai pilihan yang baik sebagai jalan pertengahan antara pendapat yang membolehkan najis itu dibersihkan lalu terus menyambung solat tanpa perlu diulangi tidak kira walau seseorang itu perlu mengambil air dan mencucinya. Sila rujuk mana-mana kitab fiqh muktabar dalam hal ini.

[14] Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie - Koleksi Hadith-hadith Hukum, 2/334 dan ini kata beliau adalah hujah dari Imam al-Ghazali, seorang ahli fiqh dan tasauf Mazhab Shafie.

[15] Imam Ibnu Qayyim - Ighastatul Lahfan, ms 80.

[16] Maksud hadith dari Sunan an-Nasai, no: 0753.

Rujukan Asal:hafizfirdaus.com

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: