#KRISIS POLITIK TERENGGANU~Siapa ‘king maker’ politik Terengganu?

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff

DUA hari lepas, Umno menyambut ulang tahunnya yang ke-68. Meriah suasananya dengan potongan kek dan semangat untuk terus kuat.

Waktu itu, Umno menafikan akan ada pertukaran Menteri Besar (MB). Tiba-tiba semalam MB Terengganu meletakkan jawatan dan digantikan dengan MB baharu.

Macam sarkas sahaja kata-kata pemimpin Umno ini, menafikan hal yang betul-betul akan berlaku. Mengapa tidak belajar dari pengalaman tahun 2008 dahulu semasa PM ketika itu menafikan Dewan Rakyat akan dibubarkan, tiba-tiba esoknya dibubarkan? Dan hasilnya berlaku tsunami politik.

Semoga selepas ini, kita sama-sama belajar untuk berkata jujur dalam politik. Akibat pertukaran MB semalam, maka bekas MBnya mengisytiharkan keluar parti untuk menjadi Adun Bebas.

Alasan bekas MB keluar parti pun remeh, kecewa dipaksa meletakkan jawatan kerana dekat dengan majlis perkahwinan anaknya. Tindakan beliau ini diikuti oleh dua Adun lain.

Maka, jadilah kedudukan kerusi di DUN Terengganu sekarang BN 14, PR 15 dan Bebas 3. Keadaan ini boleh menyebabkan kerajaan negeri bertukar tangan.

Saya fikir tidak sesuai hanya dengan tindakan beberapa Adun keluar parti, maka kerajaan Terengganu bertukar tangan. Jika bertukar tangan, biarlah ‘rakyat’ yang menjadi penentunya.

Bubarkan Dun dan serahkan pada rakyat untuk membuat pemilihan semula. Itu yang terbaik untuk menjunjung demokrasi.

Jadikan pengalaman di Perak pada Februari 2009 dahulu sebagai pengajaran. Serahkan kembali kuasa kepada rakyat atau jika tidak mahu mengadakan pilihan raya atas alasan untuk menjimatkan kos, buatlah undi tidak percaya di lantai Dewan.

Pas dan PKR pula tidak perlulah pula kelam-kabut mengambil kesempatan dari krisis ini untuk mempengaruhi lagi Adun atau ahli Parlimen dari Umno keluar parti.

Jika masih ada Adun atau Ahli Parlimen Umno yang mahu keluar parti, biarlah mereka melakukannya sendiri tanpa pujukan dan sogokan.

Yang jelas, kapal Umno di Terengganu semakin bocor. Bolehkah diselamatkan dari tenggelam?


Pensyarah Sains Politik UKM,

Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff


Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: