#PRK Teluk Intan~'Umno tak sesuai dengan jiwa saya' -Dyana Sofya

Dyana Sofya - Foto Sinar Harian oleh YUSRIZAL YUSOFF

TELUK INTAN - "Saya bukan tidak pernah untuk mendekati Umno, tetapi apabila saya sertai program mereka, acap kali tarikan parti tersebut tidak sampai kepada saya," demikian respon calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud ketika ditanya tentang Umno.

Dyana berkata, sejak di zaman universiti lagi beliau aktif menyertai program yang dianjurkan oleh Umno di universiti.

"Saya sering berkongsi-kongsi idea bersama rakan-rakan ketika menyertai program yang Umno jalankan.

"Namun saya rasa Umno tidak sesuai dengan jiwa saya," katanya dalam satu wawancara khas bersama Sinar Harian di Pusat Operasi Utama DAP, di sini, hari ini.

Sementara itu ketika disoal mengenai bagaimana beliau boleh tertarik untuk menyertai DAP, gadis manis ini berkata, program minum petang bersama pemimpin parti itu membuatkan beliau jatuh hati kepada parti berkenaan.

"Saya mula mengenali DAP secara dekat sejak pertemuan dengan setpol Penasihat DAP Lim Kit Siang yang ketika itu YB Zairil Khir Johari.

"Sejak itu, saya sering bertukar-tukar pandangan dengan pemimpinnya. Bermula dari pertemuan itu, saya semakin dekat dengan DAP sehinggalah sekarang," katanya.

Nama Dyana turut dikaitkan dengan parti terbesar itu berikutan beliau lahir dalam keluarga yang menyokong Umno sejak sekian lama.

Ibu Dyana, Yammy Samat sebelum ini menjawab kekecewaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila calon DAP Teluk Intan merupakan keluarga menyokong perjuangan parti berkenaan dengan berkata," saya cuba didik anak saya jadi Mukhriz tapi bila besar, dia jadi Marina".

PRK Teluk Intan bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Dyana dengan Datuk Mah Siew Keong dari Barisan Nasional.

Pada PRU13, Mah tewas kepada calon DAP, Seah Leong Peng dengan majoriti 7,313 undi.

PRK Parlimen Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya itu 1 Mei lalu akibat kanser.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: