#SENSASI~PRK Bukit Gelugor saksikan saingan empat penjuru,tiada calon BN

Barisan calon PRK Parlimen Bukit Gelugor (dari kiri) Cheng Guan, Mohamed Nabi Bux, Ramkarpal Singh dan Abu Backer Sidek – Foto Sinar Harian oleh MOHD IDROS MOHD ALI

GEORGETOWN - Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor pada 25 Mei ini bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon DAP, Parti Cinta Malaysia (PCM) dan dua calon bebas.

Pegawai Pengurus PRKecil Bukit Gelugor, Kapten (B) Anuar Yahya mengumumkan bahawa Ramkarpal Singh, 38, sebagai calon DAP, Naib Presiden PCM Datuk Huan Cheng Guan, 53, mewakili parti itu manakala Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar, 63, dan Abu Backer Sidek Mohamad Zan, 46, sebagai calon Bebas.

Mohamed Nabi Bux akan menggunakan simbol bunga manakala Abu Backer Sidek simbol kuda.

BN tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil itu selepas MCA memutuskan untuk tidak bertanding.

Pengumuman itu dibuat pada 10.15 pagi ini selepas proses penamaan calon tamat di pusat penamaan calon di Dewan Sri Pinang di sini.

Terdahulu, Cheng Guan menyerahkan kertas pencalonan pada pukul 9.01 pagi, manakala
Mohamed Nabi Bux berbuat demikian pada pukul 9.02 pagi diikuti Ramkarpal Singh pada pukul 9.13 pagi dan Abu Backer Sidek pada pukul 9.41 pagi.

PRK Parlimen Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh daripada DAP akibat nahas jalan raya di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak 17 April lepas.

Pada PRU13 lalu, Karpal Singh memenangi kerusi itu dengan majoriti 42,706 undi mengalahkan calon BN, Teh Beng Yeam yang memperoleh 13,597 undi. - Bernama

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: