#SUKMA XVII~Penganjur yakin semua acara di Perlis

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man (kiri) meninjau keadaan sekitar Stadium Tuanku Syed Putra sebelum memulakan program gotong-royong di Kompleks Sukan Negeri Perlis dekat Kangar, hari ini. - Foto Bernama

KERAJAAN negeri Perlis yakin semua acara Sukan Malaysia (Sukma) XVII akan berlangsung di negeri itu sekalipun venue untuk acara akuatik dan badminton masih belum siap menjelang perasmian pada Sabtu ini.

Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man yakin bumbung kolam renang akan siap dipasang dalam masa terdekat manakala di dewan badminton pula hanya tinggal kerja-kerja pemasangan lampu.

"Sekarang masa untuk bekerja, kena kurangkan bercakap," katanya kepada pemberita semasa menyertai warga kerja agensi kerajaan Perlis bergotong-royong membersihkan Kompleks Sukan Tuanku Syed Sirajuddin, venue utama Sukma Perlis, di Kangar hari ini.

Kompleks itu menempatkan stadium bola sepak, futsal, tenis, hoki, akuatik, balapan, dan badminton.

Walaupun acara akuatik hanya akan bermula 28 Mei ini, kolam tersebut perlu diperiksa oleh Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) yang memerlukan masa tiga hari untuk berbuat demikian, sebelum mengeluarkan sijil layak digunakan bagi membolehkan catatan yang dibuat oleh atlet diperakui di peringkat antarabangsa.

Mengulas lanjut, Azlan berkata tidak ada apa yang perlu dibimbangkan kerana semua gelanggang akan siap sepenuhnya dan Perlis sudah bersedia menganjurkan temasya sukan terbesar negara itu.

"Kita terima atlet, pegawai dan peminat sukan tanah air dengan berlapang dada dengan harapan rakyat Perlis menyambut semua tetamu dengan mesra kerana peluang ini hanya akan datang selepas 25 tahun dari sekarang," katanya yang turut memohon segala kekurangan diterima seadanya oleh kontinjen yang menyertai.

"...kami berusaha keras untuk menjadikan penganjuran ini yang terbaik," kata Azlan.

Beliau turut menasihati peniaga makanan agar tidak mengambil kesempatan daripada kehadiran pelawat dengan mengenakan harga tidak munasabah selain memastikan makanan yang dijual bersih dan berkualiti.

Perasmian Sukma Perlis 2014 akan disempurnakan oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail. - Bernama

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: