#GEMPAR~842 juta penduduk dunia tidak cukup makan - UNFO

Gambar hiasan. Foto ihsan Internet.

LONDON - UNITED KINGDOM. Pengurusan sumber alam sekitar yang lemah, kemiskinan, kurangnya empati ke atas sesama insan dan ketidakupayaan untuk berkongsi, dikenal pasti sebagai sebahagian daripada punca sebilangan besar manusia lapar setiap hari sedangkan hakikatnya jumlah pengeluaran makanan dunia mencukupi untuk memberi makan tiga kali sehari kepada semua penduduk.

Menurut statistik Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa Bersatu (UNFO) bagi 2013, 842 juta penduduk dunia tidak mempunyai makanan yang mencukupi setiap hari dan 748 juta tidak mempunyai akses kepada air bersih setiap hari, dan ini berlaku ketika pelbagai usaha terhebat dibuat dalam perniagaan pengeluaran makanan serta hakikat bahawa pada masa ini separuh daripada pengeluaran makanan dunia dibazirkan.

Walaupun ironis dan menakutkan, namun inilah angka yang bentangkan pada majlis Anugerah kemanusiaan Air dan Makanan 2014 (WAF 2014) yang berlangsung di Westminster Hall Tengah, di sini baru-baru ini.

Secara realitinya, kita tidak menghadapi kekurangan makanan, namun isunya pengedaran," kata pengasas WAF, Tina Lindgreen, sambil menambah mengenai perlunya berkongsi amalan terbaik dan penyelesaian mampan yang boleh membantu mengubah keadaan.

Perubahan iklim dan set cabaran terhadap pengeluaran makanan dan air global, turut ditangani pada forum WAF, dengan pelbagai kumpulan individu, daripada pelajar dan perintis dalam amalan pertanian mampan sehingga wakil korporat dan kerajaan dan pakar-pakar alam sekitar dan penyelidik dari bahagian berlainan di dunia, berhimpun untuk berkongsi pengalaman dan kejayaan masing-masing.

Ditubuhkan pada 2008, Anugerah WAF yang berpusat di Copenhagen, Denmark, menggalakkan amalan terbaik global dalam inisiatif jaminan makanan dan air, menerusi penglibatan ahli perniagaan dan individu untuk meningkatkan skala inisiatif mampan selain menonjolkan kejayaan projek dan rakan sepadan.

Kriteria pemilihan penerima anugerah termasuk kemampanan, inovasi, pengupayaan, projek yang boleh diduplikasikan, serta impak sosial dan alam sekitar projek yang dilaksanakan.

Pemenang tahun ini ialah Pusat Pengurusan Holistik Zimbabwe Afrika, pemilihan sengit antara lima calon akhir, berdasarkan inisiatif penting menyediakan makanan dan air dan mengupayakan komuniti yang paling mencabar di dunia.

Dimulakan oleh Alan Sedap, projek Zimbabwe itu melibatkan pemulihan tanah tandus dengan penternakan lembu ragut yang akhirnya menjadi tanah yang subur dengan tuaian yang tinggi selain meningkatkan daya tahan komunitinya.

Sambil menggesa supaya komuniti dunia belajar daripada projek itu serta menimbang meniru inisiatif terbabit, anggota panel pemilihan Anugerah WAF serta pengasas Royal Botanic Gardens di Jordan, Puteri Basma binti Ali berkata jaminan makanan dan air merupakan isu yang paling penting dan memerlukan perhatian dan tumpuan segera sebelum keadaan menjadi lebih buruk dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Empat lagi projek yang layak ke peringkat akhir Anugerah WAF 2014 ialah projek Tadahan Air Bioindustri Masyarakat di India (naib juara), Tanah untuk kehidupan Afrika Selatan, Menambah bekalan tenaga di Milwaukee Amerika Syarikat dan Seanet Pendidikan dan Sekolah Taman, Kenya.

Duta Keamanan dan Penaung pertama Anugerah WAF, Prem Rawat menyampaikan ucaptama pada majlis itu. - Bernama

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: