#ISU CADBURY: Kenyataan baharu kelirukan pengguna - PPNS

SEREMBAN - Kenyataan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa kedua-dua sampel coklat Cadbury bebas Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi (porcine), mengelirukan pengguna Islam di negara ini.

Persatuan Pengguna Negeri Sembilan (PPNS), Khairudin Yunus berkata, situasi yang berlaku sekarang ini tidak sepatutnya terjadi, berikutan ia melibatkan soal haram dan halal sesuatu makanan.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana sebelum ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh mengesan penggunaan DNA babi dalam coklat terbabit, dan disahkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Tambahnya, sebagai pakar dalam hal ini, pihak berkenaan perlu meneliti dan memastikan fakta diperoleh benar-benar sahih sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Pengguna kini semakin keliru dengan apa yang berlaku, sekejap kata sah ada DNA babi, sekejap kata bebas.

"Jabatan berkenaan seolah-olah tidak mempunyai pendirian yang kukuh dalam memastikan isu berkenaan benar-benar sahih atau sebaliknya.

“Sebagai pengguna sudah tentu kita akan keliru sekiranya terdapat fakta bercanggah, sehingga menyebabkan hilang keyakinan terhadap produk berkenaan," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, pihak berwajib perlu memberi penjelasan dengan telus dan jujur agar pengguna Islam tidak dianiaya dengan perbuatan yang tidak sepatutnya.

"Ke mana laporan asal yang dibuat KKM sebelum ini, yang mula-mula mengenal pasti produk berkenaan mengandungi DNA babi? Halalal toiyibah itu penting dalam setiap produk makanan yang dimaka bagi memastikan jiwa umat Islam tidak dinodai dengan benda-benda haram,” katanya.

Kata Khairudin, dengan situasi sekarang, pengguna dinasihatkan supaya tidak membeli produk makanan yang dirasakan was-was tahap kebersihan dan pembuatannya.

Jelasnya, pengguna mempunyai banyak pilihan lain memandangkan di pasaran semasa sekarang ini terdapat pelbagai jenama coklat lain yang disahkan halal.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: