#Piala Dunia 2014: Mexico akur kemasukan Hernandez ubah nasib pasukan atasi Croatia

Javier Hernandez

RECIFE: Kehadiran Javier Hernandez selaku pemain gantian disifatkan jurulatih Mexico, Miguel Herrera sebagai elemen penting membantu kemenangan 3-1 skuad El Tri itu ke atas Croatia, awal pagi tadi.

Ketika Mexico yang muncul naib juara Kumpulan A dan akan menentang Belanda pada pusingan berikutnya dilihat bersedia untuk seri, penyerang Manchester United itu yang dimasukkan pada babak kedua itu berjaya mengubah rentak perlawanan.

Hanya seminit selepas dimasukkan, Hernandez mencipta peluang terbaik namun penalti yang diminta Mexico dinafikan sebelum kapten, Rafael Marquez meledak gol pertama sepuluh minit kemudian diikuti jaringan kedua oleh Andres Guardado, tiga minit permainan berselang.

Dan Hernandez kemudian melengkapkan gol ketiga di penghujung perlawanan yang juga jaringan pertama pemain dikenali Chicharito itu sejak kali terakhir menjaringkan gol pada Piala Konfederasi tahun lalu.

“Kami memerlukan seseorang yang boleh memberi revolusi kepada permainan kami,” kata Herrera. “Javier melakukan kerja yang baik, dia masuk dan mengawal bola dengan baik jaringan yang dilakukannya juga amat hebat.

“Kami tahu dia akan memberikan segala-galanya dan kami gembira dengan sikapnya hari ini dan sepanjang masa.” - Reuters

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: