#RENUNGAN~Bola bola juga, tanggungjawab Muslim jangan lupa

SHAH ALAM - Piala Dunia yang sedang berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil bukan satu alasan buat umat Islam untuk tidak melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai seorang Muslim.

Pendakwah, Datuk Daud Che Ngah berkata, sekiranya individu berstatus Muslim bangun awal pagi semata-mata untuk menonton bola sepak tetapi tidak mengerjakan solat subuh, dia termasuk dalam golongan syirik kerana lebih mengutamakan bola sepak daripada ALLAH SWT.

"Tidak sempurna iman seseorang itu sekiranya mereka sentiasa lalai dengan keasyikan dunia.

"Bukan saya katakan tidak boleh menonton Piala Dunia. Lumrah alam di mana rakyat seluruh dunia meminati permainan bola sepak, namun jangan kita menjadi manusia yang lalai," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau memberitahu, kedatangan Piala Dunia juga bukanlah satu medan buat orang Islam melakukan dosa.

"Jika seorang wanita menonton perlawanan bola sepak, mereka secara tidak langsung akan melihat aurat pemain. Melihat aurat sehingga mendatangkan rasa ghairah boleh dikategorikan sebagai zina mata.

"Piala Dunia juga bukan medan buat manusia untuk menghalalkan aktiviti judi kerana seperti yang kita tahu ALLAH menyatakan dalam al-Quran dosa berjudi adalah dosa besar," katanya.

Menurutnya, pembahagian antara perkara dunia dan akhirat perlu diseimbangkan agar tidak menjadi manusia yang rugi.

"Apa salahnya sebelum menonton perlawanan bola sepak, kita beribadah terlebih dahulu. Jadi tidak sia-sia kita bangun awal pagi untuk menonton perlawanan Piala Dunia," tegasnya.

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: