#KEJAM~Ratapan Ramadan di bumi Gaza

Kanak-kanak parah dalam bedilan di Khan Yunis, kawasan serangan paling dahsyat. - Foto: AFP

GAZA - PALESTIN. Ketika umat Islam di seluruh dunia gembira menjalani puasa dan tarawih, ribuan saudara Islam di bumi Palestin meratap hiba dan menyelamatkan diri dari serangan roket bertubi-tubi sejak malam kelmarin.

Serangan dalam bulan Ramadan ini bukan kali pertama dilancarkan Zionis. Serangan pertama pernah berlaku ketika Intifada Pertama pada 8 Disember 1987 hingga 13 September 1993 iaitu dalam tempoh enam tahun.

Ini bermakna penduduk Gaza pernah berhadapan situasi getir sebanyak enam kali Ramadan dan serangan digelar Operasi Perlindungan Sempadan yang berlaku Isnin lalu adalah kali ke tujuh.

Dalam serangan lebih 72 jam itu, dilaporkan oleh beberapa media bahawa angka korban mencecah lebih 40 nyawa dengan ratusan cedera parah selepas Zionis menyasarkan 160 kawasan di Genting Gaza dengan menggunakan 90 roket.

Bedilan dan serangan

Semalam, Ketua operasi Jeneral Moti Almoz berkata, serangan akan ditingkatkan ke 430 kawasan di Gaza dengan 118 lagi roket bakal dilancarkan

“Sasaran termasuk 120 pelancar roket tersembunyi di 10 kubu kuat dan kawalan pusat Hamas serta terowong, katanya.

Media tempatan melaporkan, sejak serangan meningkat kelmarin, kepulan asap roket membedil bangunan dan rumah dapat dilihat.

Sekurang-kurangnya lima roket rejim Zionis dapat dipintas melalui sistem anti-peluru berpandu Iron Drone dan berbanding 24 yang dilancarkan dalam tempoh 24 jam.

Sementara itu, Kumpulan pejuang Hamas Briged Ezzedine al-Qassam mendakwa, mereka dapat melakukan beberapa pintasan roket dan melancarkan serangan balas roket M75 di pusat komersil Israel.

Bagaimanapun media Barat melaporkan, Hamas mula bergerak untuk melakukan cubaan serangan laut dengan menggunakan roket jarak jauh Meal untuk membedil Tel Aviv dan bandar di utara Hadera iaitu kira-kira 100 kilometer (km) dari Gaza.

“Hamas melakukan kejutan selepas berjaya mengenal pasti ‘kawasan paling lemah’ untuk menyerang Israel,” menurut laporan itu.

Tentera Israel pula mendakwa, lebih 40 roket dilancarkan ke selatan wilayah yang didudukinya hanya dalam tempoh beberapa jam dan 30 darinya didakwa jatuh di wilayahnya.

Difahamkan, siren kecemasan kedengaran di 10 lokasi termasuk di Beit Shemesh yang terletak 80 kilometer dari Genting Gaza.

Manakala 16 roket mengena bandar Beersheva, kira-kira 40 km dari Gaza.

Briged Ezzedine al-Qassam mengaku bertanggungjawab di atas serangan terbabit sebelum Israel melancarkan serangan balas udara tidak kurang dari 30 sasaran di Rafah.

40,000 tentera Zionis siap siaga

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengesahkan seramai 40,000 tenteranya bersiap sedia untuk melancarkan serangan darat.

Jumlah itu sudah diluluskan oleh Kabinet Israel kelmarin ketika Zionis melancarkan bedilan.

Jika benar dakwaan itu maka, kejadian ini bakal mengulangi Intifada kedua yang berlaku pada 2000 hingga 2005 hingga menyebabkan 3,354 nyawa terkorban.

Gaza guna roket buatan Syria

Media melaporkan, Briged Ezzedine al-Qassam menggunakan roket buatan Syria M302 seberat 120 kilogram yang boleh menembak pada jarak 100 km.

Mac lalu, Tentera Laut Israel, Shayetet 13 merampas kapal Klos C sarat dengan peluru berpandu jarak jauh M302 yang belayar dari Iran ke Sudan.

Difahamkan, pelayaran itu mempunyai kaitan dengan cubaan penyeludupan dilakukan Briged Ezzedine al-Qassam.

Selain M302, terdapat juga peluru berpandu jarak sederhana buatan Iran, Fajr-5 dan pelbagai roket jarak dekat.

Punca serangan

Serangan ini adalah perkembangan terbaharu paling buruk sejak November 2012.

Situasi kembali memuncak selepas insiden seorang remaja Palestin diculik dan dibunuh kejam oleh pelampau Yahudi minggu lalu.

Remaja terbabit dikatakan telah dibakar oleh kumpulan pelampau terbabit. Kejadian itu adalah serangan balas Jun lalu apabila Israel mendakwa kumpulan Hamas menculik tiga remaja di Tel Aviv.

Namun, sehingga kini Israel belum memberikan sebarang bukti terhadap tuduhan terbabit.

Apa juga yang berlaku di Gaza kini turut dirasai rakyat di Malaysia. Jika dilihat, punca sebenarnya serangan adalah selepas Hamas dan Fatah berjaya bergabung membentuk kerajaan perpaduan.

Perkara itu paling membimbangkan Israel dan Amerika Syarikat dan akhirnya menjadi kenyataan jua.

Namun, Zionis lebih senang untuk memberi alasan bahawa serangan itu dilakukan susulan kes penculikan tiga remaja. Tetapi, di manakah logiknya jika kehilangan tiga remaja Israel itu boleh mengheret kepada serangan satu wilayah Gaza?[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: