#MH17~Pesawat Salah Ditembak Pro-Rusia Tidak Terlatih - Perisik AS

SEBAHAGIAN anggota tentera Ukraine membawa keranda mayat mangsa penerbangan Malaysia Airlines MH17 yang terkorban dalam satu upacara di Lapangan Terbang Kharkiv, untuk berlepas ke Eindhoven, Belanda semalam. - AFP

WASHINGTON 23 Julai - Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 terhempas berkemungkinan disebabkan berlakunya kejadian tersilap tembak oleh kumpulan pemberontak pro-Rusia yang kurang terlatih.

Seorang pegawai perisikan Amerika Syarikat (AS) berkata, bukti yang dikumpulkan setakat ini menunjukkan pihak pemberontak pro-Rusia telah melancarkan peluru berpandu SA-11 darat ke udara terhadap pesawat MH17, tetapi masih tidak jelas mengapa mereka melakukannya.

"Penjelasan yang paling munasabah, adakah ia merupakan satu kesilapan, disebabkan peluru berpandu itu digunakan pihak yang tidak terlatih kerana penggunaan sistem persenjataan tersebut memerlukan kemahiran dan latihan.

"Kita dapat melihat banyak kesilapan tembakan pada masa lalu. Pesawat Korea Airlines ditembak jatuh oleh pesawat pejuang Kesatuan Soviet pada 1983 dan Pasukan Tentera Laut AS juga pernah tersilap menembak jatuh pesawat awam Iran pada 1988," katanya.

Mengulas lanjut, pegawai perisikan itu berkata, satelit AS mengesahkan pesawat yang membawa 298 penumpang itu ditembak oleh peluru berpandu jenis SA-11 darat ke udara dari kawasan yang dikuasai pemberontak pro-Rusia.

"Ini merupakan kes yang kukuh apabila peluru berpandu itu ditembak dari timur Ukraine di bawah pengawasan dan bantuan Rusia," jelasnya.

Pegawai perisikan itu berkata, pihak yang melancarkan peluru berpandu itu perlu bergantung kepada radar tunggal yang merupakan sebahagian daripada bateri peluru berpandu dan tidak melalui rangkaian radar lebih besar yang akan memberikan gambaran lebih lengkap tentang laluan trafik udara.

"Sistem SA-11 direka untuk digunakan dalam 'sistem pertahanan udara bersepadu' tetapi dengan menggunakan hanya satu radar, pelancar peluru berpandu itu mempunyai gambaran yang agak kabur," jelasnya.

Tambah beliau, operasi melibatkan Rusia telah dikesan di timur Ukraine tetapi perisikan AS tidak mempunyai bukti jelas bahawa pakar Rusia berada bersama unit SA-11 yang melepaskan tembakan ke arah pesawat itu.

"Walaupun Amerika Syarikat memantau aliran senjata berat, termasuk sistem pertahanan udara ke Ukraine dari Rusia, pihak agensi perisikan tidak melihat sistem senjata SA-11 dipindah ke negara tersebut sebelum pesawat terhempas," katanya.

Dalam pada itu, dakwaan menyatakan kerajaan Ukraine telah menembak jatuh pesawat tersebut juga adalah tidak realistik, disebabkan Kiev tidak memiliki sistem persenjataan seperti itu di kawasan berkenaan, yang secara jelas dikawal oleh pihak pemberontak.

"Kerajaan Ukraine tidak mempunyai sebab untuk melancarkan peluru berpandu darat ke udara, kerana pihak pemberontak tidak menggunakan aset seperti helikopter atau sistem persenjataan di udara," jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, pihak pemberontak mempunyai motif untuk menggunakan sistem peluru berpandu tersebut disebabkan mereka bertempur dengan tentera kerajaan Ukraine yang menggunakan aset seperti helikopter dan pesawat. - AFP[Utusan]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: