#BOLASEPAK~Malaysia Layak Ke Suku Akhir Kejohanan AFC B-16

KUALA LUMPUR: Malaysia buat pertama kali menempah slot suku akhir Kejohanan Konfederasi Bola sepak Asia (AFC) bawah 16 tahun (B-16) selepas muncul naib juara Kumpulan A.

Pada perlawanan terakhir kumpulan di Stadium Rajamangala di Bangkok pada Rabu, skuad Harimau Muda B-16 mengalahkan Oman 2-1.

Penyerang negara Muhammad Najmuddin Samat meletakkan Malaysia di hadapan pada minit ke-64 sebelum Oman menyamakan kedudukan empat minit kemudian menerusi Mohamed Salam Humaid Hamed Al Ubaidani.

Muhammad Najmuddin muncul wira pasukan negara dengan jaringan pada minit ke-77, sekali gus mengesahkan tempat Malaysia di suku akhir pada perlawanan yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen berbayar.

Bagaimanapun, anak buah jurulatih S. Balachandran, bakal menghadapi laluan getir apabila bertemu Australia, pasukan separuh akhir edisi 2010, pada peringkat suku akhir, Ahad ini.

Australia muncul juara Kumpulan B selepas melengkapkan jadual perlawanan kumpulan dengan menewaskan Jepun 4-2 pada Rabu.

Bagaimanapun, Jepun, yang muncul naib juara kumpulan, akan berdepan dengan juara dua kali, Korea Selatan, selaku juara Kumpulan A pada saingan suku akhir.

Sebagai rekod, Malaysia layak ke kejohanan itu sebanyak dua kali sebelum ini iaitu pada edisi 2004 di Jepun dan 2008 di Uzbekistan namun gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.[mStar]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: