#UPSR 2014~Peperiksaan Ulangan Semula Mengarut -Presiden KPPK

SHAH ALAM - Mengarut dan tidak munasabah!

Itu pendapat Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, Hashim Adnan apabila dua lagi kertas peperiksaan UPSR disahkan perlu diulang semula selepas didapati bocor.

Semalam, Lembaga Peperiksaan mengesahkan kertas ujian Matematik dan Bahasa Tamil bocor dan 9 Oktober dipilih sebagai tarikh baharu untuk pelajar menduduki semula kedua-dua mata pelajaran berkenaan.

“Kenapa selepas 10 hari peperiksaan dijalankan, baru hari ini (semalam) Lembaga Peperiksaan umumkan pembatalan kedua-dua ujian berkenaan?

“Apa yang dibuat seolah-olah menganiaya murid-murid termasuk ibu bapa dan guru sekolah,” katanya.

Katanya, pengulangan peperiksaan hanya membebankan dan menambah tekanan kepada murid.

“Mereka (murid dan ibu bapa) baru pulih daripada tekanan kerana perlu mengambil semula kertas Bahasa Inggeris dan Sains. Kini terpaksa mengharungi cerita baru, ulang semula ujian Bahasa Tamil dan Matematik,” katanya.

Walaupun akur dengan keputusan tersebut, Hashim tetap mahu Lembaga Peperiksaan menjelaskan perkara sebenar mengapa kedua-dua mata pelajaran itu perlu diulang apatah lagi selepas 10 hari murid menduduki ujian itu.

Beliau mempersoalkan sama ada kertas peperiksaan yang bocor itu dapat diakses kebanyakan murid sehingga menyebabkan ia perlu diulang semula.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Datuk Mohamed Sabri Mohd Arsad berkata, pengambilan semula dua kertas itu dirasakan perlu kerana ia lebih adil untuk semua murid.

“Bagaimanapun bagi memastikan kebolehan dan kredibiliti murid, semua kertas peperiksaan termasuk Bahasa Melayu (yang tidak dilaporkan bocor) perlu diulang semula.

“Soal emosi (murid) kita serahkan kepada kebijaksanaan sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah untuk mengurus dan memotivasikan murid,” katanya.

Mohamed Sabri juga tidak menolak insiden yang berlaku ini adalah yang terburuk dalam sejarah peperiksaan peringkat sekolah rendah.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: