#SENSASI~Kemalangan Babitkan 14 Kenderaan Serentak Akibat Tumpahan Minyak

Tumpahan minyak kelapa sawit berlaku di atas jalan raya.

KUALA PILAH - Sebanyak 14 kenderaan terbabit dalam kemalangan di Kilometer 23 Jalan Seremban - Kuala Pilah, berhampiran Kampung Sawah Liat, di sini, semalam.

Kemalangan kira-kira jam 11 pagi itu berlaku apabila sebuah lori tangki membawa muatan minyak sawit dari arah pekan Kuala Pilah ke Seremban, melanggar belakang sebuah kereta Perodua Myvi di laluan sama.

Kemalangan turut melibatkan sebuah lagi lori tangki yang juga membawa muatan minyak kelapa sawit, lapan kereta , dua lori satu tan dan masing-masing sebuah treler tanpa muatan dan bas ekspres.

Pemandu Perodua Myvi, Lee Ziong Keat, 25, berkata, kemalangan dipercayai berpunca daripada masalah brek pada lori tangki itu.

Katanya, ketika kejadian, semua kenderaan bergerak perlahan dari arah Kuala Pilah ke Seremban kerana terdapat kerja membaiki jalan rosak.

“Saya berada di barisan paling belakang dan sempat melihat cermin sisi kanan, ada sebuah lori tangki muatan sawit dipandu laju.

“Belum sempat saya elak, belakang kereta saya dirempuh lori itu hingga kereta saya bergerak ke depan, lalu melanggar belakang sebuah Kia Rio menyebabkan kedua-dua kereta kemek,” katanya.

Menurut Ziong Keat, akibat hilang kawalan, lori tangki itu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah lori satu tan yang membawa muatan minyak hitam menyebabkan berlaku tumpahan minyak di bahu kanan jalan.

“Lori tangki itu terus bergerak dan merempuh sebuah treler kosong yang berhenti kerana ada kerja-kerja baiki jalan.

“Akibat rempuhan kuat, treler kosong itu menggelongsor ke hadapan dan melanggar sebuah lori tangki muatan minyak sawit yang berada di hadapan menyebabkan tangki bahagian belakang pecah serta berlaku tumpahan minyak sawit,” katanya.

Dalam masa sama, katanya, terdapat enam kereta pelbagai jenis dari arah Kuala Pilah ke Seremban berlanggar antara satu sama lain.

Dalam pada itu, limpahan minyak sawit itu turut menye-babkan air sungai Terachi tercemar lebih tiga kilometer dari lokasi kejadian, sementara kesan minyak dikesan merebak ke empangan air di Terachi.

Bagaimanapun, bekalan air untuk skim pengairan tidak terjejas.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Penolong Kanan Penguasa Bomba Jaafar Yusuf berkata, tujuh pegawai bomba dan penyelamat bergegas ke tempat kejadian untuk menyembur air serta menabur habuk kayu bagi membersihkan kesan tumpahan minyak.

“Tiga mangsa yang menaiki Honda Civic dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah menggunakan ambulan. Keadaannya stabil," katanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim mengesahkan kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: