#INFO AUTO~Perodua lancar Myvi baharu

Sasar jualan keseluruhan 208,000 unit tahun ini
Perodua Myvi baru pada majlis pelancarannya Hotel Royale Chulan, Mutiara Damansara, baru-baru ini. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) memperkenalkan model dipertingkat, Perodua Myvi yang ditawarkan pada harga daripada RM41,500 seunit bagi varian Standard G 1.3L manual hingga RM58,900 untuk varian automatik Advance 1.5L.

Mengikut Perodua, naik taraf Myvi, model paling popular Malaysia sejak sembilan tahun lalu dibuat selepas kajian menyeluruh untuk memberi lebih nilai kepada pelanggan.

Antara kemasan terkini pada Myvi baharu yang dilancarkan di sini hari ini ialah perumah lampu projektor serta dilengkapi pengesan membelok depan, sekali gus meningkatkan lagi ciri keselamatannya.

Ruang dalamannya pula dilengkapi cangkuk antiragut untuk memudahkan wanita meletak beg tangan, tempat meletak minuman pada bahagian papan pemuka dan sistem multimedia dengan navigasi serta kamera mengundur.

Myvi ditawarkan dalam dua warna baharu Electric Blue dan Cosmic Gold. Ia adalah tambahan kepada warna popular model itu yang sedia ada iaitu Ozzy Orange, Mystical Purple, Glittering Silver dan Ivory White.

Sejak dilancarkan pada 2005, sejumlah 800,000 unit Myvi sudah dijual menjadikannya model paling popular dalam sejarah syarikat itu.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Aminar Rashid Salleh, berkata syarikat menyasar jualan 208,000 unit kenderaan tahun ini, meningkat enam peratus daripada 195,600 yang dijual pada tahun lalu.

Katanya, sasaran pertumbuhan jualan disandarkan kepada permintaan berterusan terhadap barisan model semasa.[BH Online]


Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: