#JUBLI PERAK~Reunion Skuad 1/90 gamit nostalgia

Lebih 400 pelatih Skuad 1/90 berhimpun dalam satu dewan meluangkan masa bergambar kenangan beramai-ramai.

TIADA siapa menyangka, detik 25 tahun lalu diimbas kembali dalam Dewan Serbaguna Pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) Cheras, Sabtu lalu iaitu mengumpulkan lebih 400 pelatih Skuad 1/90, Sabtu lalu.

Skuad yang dimaksudkan adalah pelatih konstabel polis yang melapor diri pada 7 Januari 1990 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) dan Pusat Latihan Polis Air Hitam (Pulapah), Negeri Sembilan seramai 1,303 pelatih keseluruhannya.

Hadirin juga dihiburkan dengan pertunjukkan kawad oleh pelatih yang sebahagian daripada mereka telah ‘keluar baris’ (berhenti perhidmatan) sambil melapor kehadiran kepada bekas jurulatih yang telah bersara.

Rata-rata mereka yang telah berhenti kerja masih mampu hentak kaki sebagaimana rakan lain yang masih dalam perkhidmatan.

Idea asal menemukan kesemua mereka dalam Sambutan Jubli Perak dan Reunion Skuad 1/90 ini bermula daripada salah seorang daripada mereka mengusulkan melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook.

Kononnya bagi mengumpulkan rakan-rakan lama yang telah terpisah berinteraksi melalui laman sosial, tetapi idea ini telah menjadikan majlis perjumpaan ini realiti.

Lebih menarik lagi, reunion Skuad 1/90 ini berlangsung tanpa mengira pangkat dan kedudukan seseorang hari ini, dalam maksud lain, semuanya konstabel.
Perasmian Reunion Skuad 1/90.

Lebih membanggakan, daripada keseluruhan pelatih ini ada yang telah menjadi pegawai polis paling tinggi berpangkat Deputi Superintendan dan ada juga yang bergelar ahli perniagaan.

Bagaimanapun, itu semua bukan halangan kepada mereka bersatu semula selepas 25 tahun.

Lebih nostalgia, beberapa ‘cikgu kawad’ (jurulatih) juga dijemput bagi mengenangkan jasa dan menghargai mereka yang telah mendidik pelatih skuad ini menjadi seorang anggota polis.

Tiada kata dapat diungkap, tiada bicara dikeluarkan pada mulanya, melainkan air mata antara mereka menitis menjadi saksi apabila bersemuka.

Ada antara yang tidak pernah berjumpa langsung selepas tamat latihan di dua pusat latihan berkenaan.

25 tahun, bukan satu tempoh pendek, ada juga antara pelatih yang telah dijemput maha pencipta terlebih dahulu.

Presiden Kelab Skuad 1/90, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, idea asal penganjuran reunion ini adalah bagi mengeratkan silatulrahim kalangan skuad yang mana ada antara mereka yang telah menamatkan perkhidmatan.

“Tidak sangka kami mampu merealisasikan majlis sebegini kerana masing-masing sibuk dengan tugasan harian masing-masing.

“Majlis ini amat bermakna bagi kami kerana pada malam ini, semua daripada kami hadir dengan keluarga sekali,” katanya.

Jelasnya, dalam majlis ini mereka juga mengadakan majlis tahlil kepada rakan-rakan yang telah meninggal dunia dan majlis doa selamat.

“Kami juga mengadakan tabung kebajikan untuk diberikan kepada balu pelatih Skuad 1/90 dan membantu mereka yang memerlukan antaranya ditimpa bencana banjir dan masalah kesihatan.
Tabung kebajikan untuk diberikan kepada balu pelatih Skuad 1/90 dan membantu mereka yang memerlukan antaranya ditimpa bencana banjir dan masalah kesihatan juga digerakkan.

“Syukur, kawan-kawan dari Sabah dan Sarawak juga hadir pada malam ini,” katanya lagi.

Champin berkata, mereka bercadang akan mengadakan lagi satu majlis reunion selepas 30 tahun perkhidmatan kerana ketika itu kebanyakkan mereka akan bersara wajib.

Sepanjang majlis berlangsung, mereka telah dihiburkan dengan pelakon dan pengacara Shamsul Ghau Ghau yang merupakan salah seorang pelatih Skuad 1/90.

Dia yang dikenali dengan panggilan Achoi ketika rekrut telah berhenti dari perkhidmatan kerana menceburkan diri dalam industri hiburan selepas memenangi pertandingan Sinaran Pasport Kegemilangan 1994.

Biar renggang di fana dunia,
Biar hina di mata manusia,
Biar tinta lapuk di telan masa,
Biarpun berbeda pangkat dan darjat kita,
Namun tidak tergadai silaturahim ini.

-Sumber:Sinar Harian Online-

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: