#MOTIVASI~Pekerja lebih setia sekiranya dibayar bonus

SHAH ALAM – Kakitangan atau pekerja di sesebuah syarikat akan memilih untuk setia dan bekerja dengan lebih gigih sekiranya mereka dibayar bonus oleh majikan, menurut kajian Jobstreet.com.

Berdasarkan kajian yang berjudul Jobstreet.com-Job Outlook Report Q1 2015, 58 peratus pekerja memilih untuk terus bekerja di syarikat yang sama setelah dibayar bonus oleh majikan masing-masing.

Manakala 42 peratus lagi memilih untuk mencari peluang pekerjaan yang lebih baik.

“Sejumlah 358 majikan dari luar negara, 605 majikan tempatan dan 877 pekerja mengambil bahagian dalam survey Job Outlook Report Q1 2015 yang dijalankan oleh pihak kami.

“Kami juga turut menerima pendapat antara faktor untuk para pekerja setia dengan syarikat mereka adalah pengurusan syarikat dan peluang pertumbuhan kerjaya,” menurut agensi cari pekerjaan itu.

Hasil kajian itu juga menunjukkan, untuk mengekalkan kakitangan sedia ada, majikan juga bersedia meningkatkan gaji dan memberi bonus pada tahun ini.

“Kira-kira 95 peratus majikan akan memberi kenaikan gaji. Bagaimanapun hanya 31 peratus majikan berkata akan membayar peningkatan kenaikan gaji sehingga 6 peratus dan ke atas, manakala majoriti (54 peratus) kakitangan yang dijangka akan menerima jumlah yang sama daripada kenaikan gaji".

Menurut Jobstreet.com lagi, walaupun secara purata, kebanyakan industri memberikan bonus lebih rendah pada tahun ini berbanding tahun lalu, majikan akan terus menyediakan manfaat lain sebagai tambahan kepada kenaikan gaji dan bonus.

"Ini termasuk pengangkutan, penjagaan kesihatan dan perbelanjaan peribadi seperti penggunaan mudah alih dan elaun perjalanan," menurut dapatan kajian itu.

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: