#AL-FATIHAH~Perginya Hasbullah Awang lagenda pengulas sukan

MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menganggap Allahyarham Datuk Hasbullah Awang sebagai lagenda pengulas sukan yang sukar diganti.

Menyifatkan kematiannya satu kehilangan besar kepada negara, beliau berkata, Hasbullah yang merupakan pengulas pelbagai acara sukan tempatan dan luar negara, merupakan sebahagian legenda sukan negara kerana telah melonjakkan mutu sukan negara.

“Satu daripada perkara memajukan sukan dalam negara ialah aspek penyiaran yang memerlukan seorang pengulas sukan yang baik.

“Bintang dalam pengulas sukan sukar dicari. Ia datang secara semula jadi dan sekali sekala sahaja. Sukar kita mencari orang yang sehebat Allahyarham,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran AirTimeShare versi 2.0 di Putrajaya, hari semalam.

Ahmad Shabery juga mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan akan menziarahi keluarganya.

Hasbullah, 63, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), di Kuala Lumpur pada 12.20 tengah hari semalam.

Kerjaya terakhir Allahyarham ialah sebagai pengulas sukan dengan saluran televisyen Astro Arena bermula Januari 2014 dan sebelum itu beliau berkhidmat dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM). - Bernama

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: