#INFO AUTO~BMW 320d GT lebih sporty

BMW 320d GT

Perkara pertama yang muncul dalam fikiran penulis apabila menerima kunci kereta BMW 320d GT (Gran Turismo) ini ialah rekabentuknya unik dengan gaya sebuah sedan coupe sporty dan kelihatan besar serta lebar berbanding kenderaan yang sekelas dengannya.

Namun perbezaan paling ketara model ini ialah spoiler belakang yang pertama seumpamanya bagi model sedan BMW kerana komponen standard itu boleh dinaik dan diturunkan menerusi suis butang yang dipadankan di pintu pemandu.

Tujuan spoiler ini disediakan untuk memberi kestabilan pemanduan ketika dipandu pada kelajuan tinggi di lebuh raya selain kelihatan lebih sporty.
DIPADANKAN dengan spoiler belakang yang boleh dinaik dan diturunkan secara automatik.

BMW Group Malaysia memperkenalkan model itu menerusi program pemasangan tempatan (CKD) iaitu varian CKD ke-14 yang dikeluarkan oleh syarikat automotif Jerman itu sebagai tambahan kepada barisan model BMW 3 Series. Dua varian ditawarkan iaitu BMW 328i Gran Turismo dan BMW 320d Gran Turismo.

Yang pasti, prestasi enjin diesel yang dipadankan pada model ini memiliki beberapa kelebihan dan tidak mengecewakan kerana ia mampu menghamburkan kuasa 184hp pada tork maksimum 380Nm.
ENJIN empat silinder, TwinPower Turbo diesel menjimatkan minyak.

Pemandu yang mahukan lebih prestasi boleh memilih untuk menggunakan mod 'sport' yang memberi tindak balas lebih agresif setiap kali pedal minyak ditekan.

Jika mahu memandu dalam keadaan biasa boleh menekan butang eco pro yang mampu memberi penjimatan minyak menerusi kapasiti tangki penuhnya sebanyak 57 liter.

Bagaimanapun, jika memerlukan kawalan lebih, ciri pilihan gear manual tersedia menerusi + atau di tombol gear dan pedal di belakang stereng.

Menggunakan enjin empat silinder TwinPower diesel Turbo berkembar, model itu yang dileng­kapi transmisi automatik lapan kelajuan mampu memecut pada kelajuan maksimum 226 kilometer sejam dan hanya memerlukan 7.9 saat untuk mencapai kelajuan daripada kedudukan statik kepada 100 kilometer sejam.

Pengalaman memandu BMW X4 sebelum ini membantu penulis mengendalikan model itu, namun kecewa apabila tiada kamera undur dipadankan pada model itu yang hanya dibantu menerusi grafik sensor undur yang menunjukkan garisan merah atau hijau pada paparan panel skrinnya.

Sebagaimana model baru BMW, ciri kawalan elektronik model itu boleh dikawal menerusi tombol yang terletak berhampiran tombol gearnya seperti petunjuk navigasi, multimedia, kawalan suhu dalaman dan pelbagai lagi yang memudahkan pemandu memberi tumpuan sepenuhnya di jalan raya.

Ketika menjenguk ke bahagian bonet belakangnya, BMW 320d GT ini menawarkan ruang luas, apatah lagi ruang belakangnya turut menawarkan ruang simpanan tambahan seakan-akan ruang 'rahsia' dan jika memerlukan ruang lebih besar, anda hanya perlu merebahkan tempat duduk belakang, sekali gus boleh menikmati sehing­ga 1,600 liter ruang simpanan berbanding 520 liter.
RUANG kokpit pemandu yang sarat dengan butang kawalan.

Kedudukan bumbungnya yang lebih tinggi menjadikan penumpang dapat duduk dengan lebih selesa tanpa gangguan pada bahagian kepala manakala melalui jarak roda yang lebih panjang pula, ruang kelegaan kaki lebih luas, sekali gus memberi peluang untuk penumpang belakang bersantai ditambah corong pendingin hawa tersendiri.

Untuk menutup bonet belakang itu, anda hanya perlu menekan butang automatik dan jika mahu membuka bonet belakang dengan mudah, BMW turut menyediakan satu sistem bantuan pengesan yang mana pengguna hanya perlu 'menghayunkan' kaki di bahagian bawah dan ia akan terbuka secara automatik.
RUANG khas but belakang untuk tujuan simpanan.

Ciri ini turut disediakan sebagai tambahan kepada butang buka dan tutup elektronik yang boleh ditekan dari tempat duduk pemandu atau di pintu ruang barangan itu sendiri.

Apapun, melalui 320d GT ini, BMW sekali lagi membuka satu lagi segmen unik bagi kenderaannya. Walaupun mempunyai model 3 Series Touring (seperti wagon yang juga mempunyai lebih ruang), 320d GT tetap dijang­ka mempunyai penggemarnya.

BMW 3 Series Gran Turismo didatangkan dengan kombinasi lengkap ciri sedan sporty selain ditawarkan dengan kualiti dari segi ruang dan keselesaan pemanduan.

Bagi varian BMW 328i Gran Turismo, ia akan ditawarkan menerusi model popular Sport Line, sementara BMW 320d Gran Turismo pula dalam Luxury Line.

BMW 3 Series Gran Turismo boleh didapati dengan enam pilihan warna iaitu 'Alpine White', 'Black Sapphire' dan 'Mineral Grey', manakala bagi warna 'Melbourne Red', 'Glacier Silver' dan 'Midnight Blue', ia ditawarkan secara eksklusif untuk varian CKD BMW 328i Gran Turismo.

Harga runcit atas jalan tanpa insurans bersama BMW Service + Repair Inclusive (BS+RI) bagi BMW 3 Series Gran Turismo baru ialah RM329,800 untuk BMW 328i Gran Turismo dan RM298,800 (BMW 320d Gran Turismo).[myMetro]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: