#MAHKAMAH~Pemuda hadapi 3 tuduhan rogol gadis bawah umur

Mohammad Amirul Hafiz mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan merogol seorang gadis berusia 15 tahun, semasa dihadapkan ke mahkamah sesyen, semalam.

KUALA TERENGGANU - Seorang pemuda dihadapkan ke mahkamah sesyen, di sini, semalam atas tiga tuduhan merogol seorang gadis dipercayai teman wanitanya yang berusia 15 tahun.

Tuduhan terhadap Mohammad Amirul Hafiz Hanifah, 22, dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas ketiga-tiga pertuduhan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Mohammad Amirul Hafiz didakwa merogol mangsa yang sudah tidak bersekolah itu di sebuah rumah di Kondo Rakyat Kuala Ibai, kira-kira jam 4.30 petang, 28 November tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa mengulangi perbuatan sama terhadap mangsa di lokasi sama, lebih kurang jam 8 pagi, 1 Januari dan 8 Januari lalu.

Hakim Azhar Othman menetapkan 18 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh dijamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, Hakim Azhar turut menetapkan syarat tertuduh tidak boleh sesekali mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan dengan apa jua cara sekalipun.

Sekiranya tertuduh didapati melanggar syarat berkenaan, jaminan akan ditarik balik dan tertuduh akan direman sehingga perbicaraan selesai.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: