#PRIHATIN~Ibu tunggal 13 anak mohon dibantu selepas ditimpa musibah banjir

Ramlah (kanan) bersama sebahagian anaknya di rumah.

KOTA BHARU - Emosi sedikit terganggu bukan hanya pada saat menghadapi rumah rosak setelah tenggelam banjir, malah ibu tunggal 13 anak itu resah apabila bengkel anak lelakinya musnah baru-baru ini di Kampung Hamzah, Kuala Krai.

Ia satu keadaan menyedihkan bagi ibu tungal itu, Ramlah Junoh, 50, apabila deritanya kian tidak tertanggung setelah bengkel kereta, Adam Muqlies Mohd Nawi, 22, yang menjadi punca utama rezeki mereka sekeluarga rosak teruk.

“Memang kami sekeluarga bergantung harap pada rezeki Adam Muqlies yang membaiki kereta penduduk sekitar Kuala Krai untuk meneruskan hidup kami anak-beranak.

“Setiap bulan makcik memperoleh wang kebajikan (JKM) RM400 sebulan, tetapi jika hanya mengharapkan wang itu, memang tidak memadai, tambahan pula dua masih di universiti dan enam masih belajar di sekolah,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Sejak kematian suami, Mohd Nawi dua tahun lalu, hanya sumber pendapatan banyak diperoleh daripada anak-anaknya terutama Adam Muqlies.

“Bukan mudah mahu mendirikan bengkel kereta dan Adam Muqlies belajar menjadi mekanik sejak enam tahun lalu, namun kini peralatan membaiki kenderaan rosak dengan kerugian kira-kira RM25,000.

“Makcik mahu sesiapa yang bermurah hati datang bantu kami, mungkin baik pulih bengkel kereta Adam Muqlies atau rumah kayu kami yang rosak bahagian tengah,” katanya.

Kata Ramlah, seorang anaknya, Siti Aishah, 31, bertugas sebagai guru Kemas, Siti Zawiyah, 29, pula hanyalah suri rumah yang mana suaminya bekerja sebagai Buruh Keretapi Tanah Melayu (KTMB) dan Siti Ainul Mardiah, 25, masih belum bekerja.

Dua anaknya belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) iaitu Muhammad Azam, 19 dan Siti Ainul Adawiah, 18 memerlukan banyak perbelanjaan untuk meneruskan pengajian, manakala tiga lagi, Siti Ainul Fatihah, 16, Muhammad Niezan, 14, Muhammad Azim, 13 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yahya Petra 1 dan Muhammad Asyraf, 10, Mifathul Sumaiyah, 8 dan Muhammad Amir, 6, di Sekolah (SK) Yahya Petra 1.

Selain rumah, Ramlah juga redha apabila lembu dan kambing mati dihanyutkan air dan peralatan rumah termasuk kereta dan motosikal serta barangan elektrik semuanya rosak.

Mereka yang ingin membantu keluarga berkenaan boleh menghubungi Muhammad Azam di talian 017-9884023.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: