#PRIHATIN~Tiga beradik derita sakit kronik sejak lahir

Siti Wahida bersama tiga anaknya yang menghidap hydrocephalus sejak lahir.

SELAMA - Tidak boleh bebas bermain dan hidup normal seperti kanak-kanak lain, itu kehidupan yang terpaksa ditempuhi tiga beradik di Kampung Tanjung Lengkong, Rantau Panjang, di sini.

Ketiga-tiga kanak-kanak malang itu menghidap penyakit hydrocephalus iaitu mengalami lebihan cecair di dalam otak sejak dilahirkan.

Ibu mereka, Siti Wahida Abdul Aziz, 31 berkata, akibat penyakit kronik dihidapi, Mohd Saiful Asyraf, 8, Taufiq Iqbal, 5 dan Mohd Alwafi, tujuh bulan tidak dapat membesar seperti kanak-kanak lain.

Menurutnya, ketiga-tiga anaknya pernah menjalani pembedahan untuk membuang air di dalam kepala bagi mengelakkan ia terus membesar.

"Mereka kini menggunakan tiub dari kepala ke saluran pundi kencing bagi memudahkan air di dalam otak keluar melalui saluran kencing," katanya.

Siti Wahida berkata, dua tahun lalu, Taufiq mengalami jangkitan kuman di kepala dan menjalani pihak hospital terpaksa menjalankan pembedahan untuk membuang tiub berkenaan.

“Kini Taufiq perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Selama dan Hospital Taiping.

“Mohd Alwafi pula akan menjalani rawatan pada 21 April ini, di Hospital Kuala Lumpur kerana tempurung kepalanya semakin membesar,” katanya.

Menurutnya, pendapatan suaminya Che Li Arshad, 37, sebagai operator pengeluaran tidak cukup untuk menampung perbelanjaan anak-anak khususnya bagi membeli lampin pakai buang dan susu mereka yang mencecah RM 700.

Jelasnya, bagi menambah pendapatan suami, dia turut jual kuih.

“Saya bersyukur pertolongan penduduk kampung dan saudara tidak pernah berhenti, malah ada penduduk mengumpulkan wang untuk kos perjalanan kami ke Kuala Lumpur bagi rawatan anak,” katanya.

Siti Wahida berkata, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM 300 sebulan dan kerusi roda yang diberikan kepada anak sulungnya banyak membantu keluarganya.

Bantuan boleh disalurkan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 08221-29-00015208-4 atas nama Siti Wahida Abdul Aziz.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: