#SENSASI~Dua sahabat pakar jinak gajah dari Kuala Gandah

Kerjasama antara anggota pasukan penting bagi melancarkan proses pemindahan gajah liar.

GERIK – Menjadi tulang belakang dalam setiap operasi pemindahan gajah liar bukan satu tanggungjawab mudah.

Selain kepakaran tinggi, pengalaman luas dalam mengendalikan mamalia darat terbesar itu amat diperlukan bagi memastikan proses translokasi haiwan berkenaan tidak mengundang risiko kepada anggota.

Itu tanggungjawab digalas, Pembantu Hidupan Liar, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Abd Razak Minhat, 60, dan rakannya, Saudi Sidek, 53, sejak berdekad lalu.

Menyedari tugas mencabar yang dipikul, Abd Razak dan Saudi menganggap ia satu anugerah apabila merasai meraih pengalaman sejak zaman pemindahan menggunakan tali hingga kini, rantai besi pula digunakan.

Abd Razak dan Saudi sudah menyertai lebih 350 operasi dengan lebih 700 ekor gajah dipindahkan sejak hampir 40 tahun lalu di seluruh negara termasuk mengikuti misi khas memindahkan gajah di luar negara iaitu Singapura dan Vietnam.

Abd Razak yang akan bersara pada November lalu mengakui, bukan mudah untuk menguruskan haiwan itu, terutama apabila membabitkan kumpulan besar.

Menurutnya, gajah merupakan haiwan yang sensitif dan mudah bertindak agresif, namun boleh menurut arahan sekiranya kena pada caranya.

“Senang cakap, mengendalikan gajah liar umpama kita jaga kanak-kanak, cepat merajuk dan mudah tertekan, kerana itu kita perlu komunikasi antara gajah denak dengan gajah liar.

“Kepakaran anggota dan pengawalan dengan ubat pelali menjadikan operasi tangkapan dan pindah lebih mudah dijalankan.

“Tambahan pula, sekarang kita sudah ada peralatan lebih baik, kalau dulu guna tali boleh jadi asyik putus dan itu sedikit berisiko kepada anggota,” katanya.

Dalam operasi melibatkan 15 hingga 20 anggota itu, proses memindahkan gajah boleh selesai dalam masa empat atau lima jam, tetapi dalam beberapa kes besar yang melibatkan tangkapan berkumpulan, masa diperlukan adakalanya hingga berminggu-minggu.

Abd Razak berkata, antara misi paling lama yang pernah diikuti adalah di Kampung Tenang, Labis Johor sekitar 2009 lalu selama 30 hari.

Katanya, ketika itu, operasi pemindahan melibatkan kumpulan gajah yang besar dan ia perlu dilakukan dengan teliti kerana hampir dengan penempatan penduduk.

Bagi Saudi pula, dalam mana-mana operasi pemindahan, keselamatan nyawa petugas amat penting, justeru setiap pelan tindakan yang dilakukan perlu mengikut standard prosedur operasi (SOP) ditetapkan, sepenuhnya.

Namun katanya, berdepan sesuatu perkara yang tidak dijangka adalah perkara biasa yang sudah menjadi mainan mereka hingga ada ketikanya mengancam nyawa sendiri.

Saudi berkata, antara pengalaman cemas yang pernah dialami adalah apabila sekumpulan gajah liar cuba menyerang lokasi persembunyian mereka meskipun, sudah ditembak dengan ubat pelali.

Abd Razak dan Saudi yang ditemui pemberita ketika operasi pemindahan gajah liar di Felda Tawai 1, Gerik minggu lalu turut mempunyai kepakaran dalam menjinakkan gajah liar.

Antara gajah liar yang berjaya dijinakkan adalah Lokimala, gajah denak yang dibawa dari India yang kini sudah mencecah usia 76 tahun.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: