#GST~'Kalau tak naik harga, kami tersepit'

Siti Noor Marliana sibuk melayan pelanggan di gerai pisang gorengnya.

SHAH ALAM - Pelaksanaan GST membimbangkan golongan peniaga terutama penjaja makanan yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

Peniaga makanan dan lauk-pauk, Nasita Khamis, 49, berkata, walaupun kebanyakan barangan basah terkecuali daripada GST, dia yakin masih banyak lagi barangan keperluan memasak yang dikenakan caj itu menyebabkan kos bahan mentah turut meningkat.

"Memang barang basah seperti ayam, daging dan ikan tak kena GST, macam mana pula dengan yang lain-lain? Dalam banyak-banyak barang keperluan lain, pasti ada yang dikenakan GST seperti sos cili, sos tomato.

"Sebab GST kami terbeban. Nak naikkan harga makanan nanti yang dijual pula tak laku. Kalau tak naikkan, kita pula tersepit. Macam mana nak berniaga, silap-silap nanti tutup gerai. Harga yang kita letak sekarang ini pun ada yang merungut mahal, sedangkan itu harga paling minimum.

"Susah bagi kami yang berniaga kecil-kecilan ini, barang basah memang ada harga tetap, tapi ikan, sayur, daging pun ikut harga pasaran, risau juga lepas kena GST nanti makin mahal," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, peniaga pisang goreng, Siti Noor Marliana Suhaimi, 19, berkata, dia sudah merasai tekanan dengan kenaikan harga barangan walaupun GST belum dilaksanakan.

"Pada saya, negara kita belum lagi capai taraf negara maju, gaji rakyat tak setaraf dengan negara maju. Jadi kenapa mesti ada GST sedangkan ramai lagi rakyat susah? Nampak sangat kerajaan tidak hirau beban rakyat.

"Kami cari duit dengan meniaga sebab susah, bila ada GST makin terbebanlah kami. Penerangan GST pun tak semua faham, macam mana kerajaan yakin nak buat GST?" katanya.

Peniaga ayam madu, Zulkifli Mat Nawi, 39, pula berkemungkinan akan mengurangkan sedikit kuantiti jualannya selepas GST dilaksanakan.

"Barangan keperluan untuk berniaga pasti naik. Walaupun bahan utama berniaga saya iaitu ayam tak kena GST, tapi barangan lain pasti ada yang kena.

"Sekarang ini pun ada pelanggan dah tanya selepas ini harga jualan naik ke tidak. Saya tak akan naikkan tapi mungkin akan kurangkan kuantiti. Contohnya jika sebelum ini pedal ayam madu saya letak lima ketul secucuk, tetapi lepas GST mungkin kita kurangkan empat saja," katanya.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: