#INFO~Latihan Industri @Kampus

RAMAI yang bersetuju, latihan industri (LI) banyak mendatangkan manfaat kepada pelajar institusi pengajian tinggi, sama ada universiti awam mahupun swasta. Ia dilihat sebagai satu inisiatif memperkasa pelajar dalam kompetensi yang diperlukan.

Sebagai penuntut, ini adalah peluang keemasan turun ke gelanggang dan melihat secara dekat perjalanan kerja berkaitan bidang mereka. Dalam masa yang sama, peluang meninjau sejauh mana ketahanan fizikal dan mental berdepan dengan struktur kerja serta gelagat organisasi.

Latihan industri juga dipandang sebagai alat yang membezakan kedudukan seorang graduan. Lepasan penuntut yang cemerlang dengan ijazah dan diploma semata-mata tidak menjamin peluang kerjaya yang hebat, melainkan berkebolehan tinggi dalam bidang yang dipilih.

Justeru, menerusi latihan industri, ia sekurang-kurangnya membantu penuntut menerima input berguna dalam bidang berkaitan lebih awal sebelum memulakan kerjaya tetap. Walaupun tempoh masanya berbeza-beza, latihan ini menjadi satu keperluan wajib dalam kalangan pelajar dan perlu menunjukkan prestasi cemerlang demi sebuah pengalaman berharga dan kecemerlangan akademik.

Cabaran kerjaya hari juga menjadikan latihan industri kekal relevan sekali gus mempertingkatkan kebolehpasaran.


Melahirkan sumber Keperluan tenaga kompeten

Latihan industri (LI) banyak memberi pelajar peluang pembelajaran di dunia pekerjaan. Ia disebut juga pengalaman praktikal berupaya mempertingkatkan kebolehpasaran dan pendedahan amalan kerja dalam bidang pengkhususan.

Teori yang dipelajari di bilik kuliah lebih jelas setelah mereka melalui tugasan tersebut di tempat latihan. Kerjasama yang baik antara penuntut dan organisasi terlibat menjadikan perkongsian pengalaman berharga bagi mereka, selain menimba ilmu yang mungkin tidak setara dengan apa yang disampaikan oleh pensyarah.

Kebolehan menjalankan tugasan seperti yang diamanahkan juga mampu menarik minat majikan untuk menyerap masuk penuntut sebagai pekerja tetap. Baik majikan, mahupun penuntut itu sendiri, latihan ini membawa manfaat bersama untuk mengisi keperluan tenaga kerja.

Membincangkan isu ini dan baik buruknya, wartawan Kampus, mendapatkan beberapa maklum balas daripada siswa-siswi dan pensyarah serta majikan. Kupasan menarik daripada semua pihak ini, bertepatan dengan penekanan yang digariskan di bawah dasar latihan industri institusi pengajian tinggi yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan sejak beberapa tahun lalu.


Persediaan ke alam pekerjaan

LATIHAN ini perlu dilalui sebelum bergelar graduan. Ia penting sebagai persediaan awal mental dan fizikal sebelum ke alam pekerjaan. Ia juga memperluaskan kemahiran serta pengalaman.

Tempoh antara tiga hingga enam bulan itu, adalah masa yang sesuai mendalami bidang kerja.

Di kelas kita mempelajari teori, tutorial tetapi medan praktikalnya adalah di luar.

Mereka perlu aplikasikan semua ilmu untuk menyesuaikan diri dengan sekeliling dalam banyak aspek antaranya penampilan diri, teknik pengucapan awam, pengurusan diri dari segi emosi dan lain-lain. Jika gagal dalam perkara ini maka akan mendatangkan kesusahan kepada mereka untuk berada di alam kerja nanti.

- MUHAMMAD AZMIL ABU SEMAN
PENUNTUT PENGAJIAN QURAN DENGAN MULTIMEDIA
UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA (USIM)


Alam pekerjaan menuntut komitmen tinggi

Kami adalah organisasi yang membuka peluang kepada siswa-siswi mendalami kepakaran dalam bidang berkaitan sektor swasta.

Setiap tahun syarikat dianggarkan menerima lima hingga 10 pelajar dari pelbagai bidang dan institusi yang ditempatkan mengikut bidang.

Sebagai organisasi yang fokus kepada bidang penerbitan dan percetakan, kami meletakkan latihan industri sebagai tanggungjawab sosial korporat dalam membantu golongan pelajar mendapat pendedahan sebenar alam pekerjaan.

Kami yakin, dengan keupayaan yang ada, banyak pengalaman berguna yang mampu diserap, terutama dalam penerbitan buku, majalah dan surat khabar.

Syarikat tidak meletakkan syarat untuk mereka menjalani latihan, asalkan bertepatan dengan industri, begitu juga tempoh. Masa terbaik adalah empat hingga enam bulan atau tiga bulan sudah memadai. Elaun juga disediakan.

Ketika menjalani latihan, pelajar seharusnya fokus dengan tugasan, ini penting dalam menjamin produktiviti dan mengasah kemahiran. Tanamkan nilai semangat bekerja yang tinggi, belajar sesuatu daripada pengalaman. Jika tamat belajar dan tidak mampu mengisi kekosongan di sektor awam dan swasta, boleh persiapkan diri untuk terlibat dalam bidang keusahawanan.

Syarikat juga tidak akan memberi tugasan yang di luar kemampuan kerana kami tahu mereka masih dalam pengajian. Namun pelajar juga mestilah lebih bersikap multitasking. Banyak nilai tambah, terutama persekitaran dan suasana kerja.

Pelajar mungkin terdedah dengan deadline tugasan, namun alam kerja lebih mendedahkan mereka dengan cara penyelesaian, bertindak matang dan komitmen tinggi.

Pelajar juga harus lebih sedia menghadapi tekanan. Alam kerja lebih menuntut kepada persediaan fizikal dan mental.

- PENGURUS BESAR (JABATAN SUMBER MANUSIA)
KUMPULAN MEDIA KARANGKRAF
AHMAD NAZRI MOHD NOOR


Manfaat untuk pelajar dan majikan

Secara rasionalnya latihan industri amat penting kepada pelajar, khususnya penuntut di Usim, kerana ia memberi pendedahan kepada dunia pekerjaan.

Saya bagi contoh senario di Usim, latihan ini diwajibkan ke atas penuntut lama empat bulan dan ini sudah mencukupi bagi mereka memanfaatkan dan mengumpul pengalaman sebelum menempuh alam pekerjaan sebenar.

Walau bagaimanapun, pelajar boleh juga melanjutkan tempoh melebihi empat bulan jika kedua-dua pihak bersetuju. Berkenaan mahasiswa yang memohon untuk mengadakan latihan industri itu terus diserap ke bahagian berkaitan, statistik yang tepat tiada, cuma sumber dari Kementerian Pendidikan menunjukkan sebanyak 71 pelajar biosiswatelah mendapat pekerjaan pada masa konvokesyen baru-baru ini.

Latihan atau kerja yang ditawarkan kepada mereka mengikut bidang yang dipelajari bertepatan keperluan majikan. Pihak universiti seboleh-bolehnya cuba meletakkan pelajar-pelajar latihan industri dalam organisasi yang relevan dengan program pengajian mereka.

Hal ini untuk kemudahan mereka di samping mengisi keperluan yang ada.

Sudah tentu pelbagai nilai tambah diperolehi selepas tamat latihan. Kesan ketara adalah kemahiran komunikasi lebih baik, penguasaan bahasa selain bahasa ibunda, pembangunan kepimpinan dan memahami lebih mendalam selok-belok sesebuah organisasi.

- PENGARAH PUSAT HUBUNGAN INDUSTRI DAN PENGKOMERSIALAN USIM
PROFESOR MADYA DR. AWANGKU ABDUL RAHMAN AWANGKU YUSSUF


Perlu bijak rebut peluang

Latihan industri adalah platform untuk pelajar didedahkan kepada alam pekerjaan sebenar sambil mempraktikkan pengetahuan secara teori kepada amalan serta meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang profesion masing-masing.

Tidak cukup dengan itu sahaja, LI juga bertujuan melahirkan pelajar yang kompetensi dan kemahiran generik yang diperlukan majikan. Tempoh tiga ke enam bulan adalah wajar untuk mendalami pengalaman dan pendedahan.

Berdasarkan pengalaman menyelia penuntut dari Pusat Pengajian Media & Komunikasi UKM, ada yang terus diserap bekerja. Tahun lepas saya menyelia lapan penuntut di Media Prima Bhd dan alhamdulillah tiga daripada mereka diserap bekerja.

Kebiasaannya pelajar-pelajar yang menjalani LI di organisasi seperti stesen televisyen, radio atau syarikat produksi, kebarangkalian untuk diserap terus adalah bergantung kepada tahap kemahiran, kreativiti dan ketahanan mental serta minat yang mendalam dalam bidang tersebut.

Latihan industri juga medan untuk melihat sejauh mana pelajar menilai kematangan dalam menempuh fasa baharu dalam kehidupan.

- HASRUL HASHIM
PENSYARAH
PUSAT PENGAJIAN MEDIA & KOMUNIKASI
FAKULTI SAINS SOSIAL & KEMANUSIAAN, UKM


LI perlu ketahanan mental, fizikal

Program ini sangat penting kerana mereka akan mempelajari banyak ilmu berkaitan kerjaya dalam bidang masing-masing.

Ia juga salah satu cara melengkapkan diri sebagai graduan cemerlang dan berpotensi tinggi dalam menjalankan tanggungjawab apabila memasuki medan pekerjaan.

Sebelum melangkah ke latihan industri pelajar seharusnya melengkapkan diri mereka dalam pelbagai aspek sama ada dokumentasi sehinggalah fizikal, mental, emosi dan spiritual.

Persediaan sebelum latihan industri;-

Pelajar seeloknya meninjau organisasi dengan melakukan sedikit kajian sama ada bersesuaian atau tidak dengan bidang yang dipelajari.
Persediaan semasa latihan industri;-

Persiapan mental dan emosi perlu dibuat rapi kerana dalam dunia pekerjaan pelajar akan menghadapi pelbagai dugaan. Ilmu-ilmu berkaitan softskill yang dipelajari di IPT seharusnya digunakan sebaik mungkin semasa menghadapi situasi ini.

Persediaan selepas latihan industri;-

Selepas menjalani LI, tunjukkan budaya menghormati dan berterima kasih

Antara tip yang boleh diamalkan pelajar ketika menjalani LI ialah:

-Membina hubungan mesra (peramah) antara penyelia dan staf
-Menjalankan tugasan dengan penuh semangat
-Selalu bertanya penyelia jika tidak berupaya memahami
-Tidak melawan atau meninggi suara dengan penyelia
-Sentiasa menghulurkan bantuan jika diperlukan
-Sentiasa berupaya menyiapkan tugasan secepat mungkin dan tidak menangguhkan
-Menganggap diri seolah-olah berada dalam dunia pekerjaan sebenar dan sedia terima tugas dengan penuh komitmen
-Menghayati nilai integriti sebagai seorang pekerja
-Memberikan ucapan penghargaan (terima kasih) kepada penyelia pada hari mendaftar dan tamat latihan praktikal

Mereka seharusnya mematuhi segala peraturan di tempat latihan sebagaimana mendisiplinkan diri di IPT. Tidak boleh jadikan tempat latihan industri sebagai medan lepas stres dan perbuatan negatif.

Menerapkan sikap positif, ringan tangan menghulurkan bantuan dan bijak dalam menyelesaikan masalah adalah tunjang personaliti cemerlang yang harus ditunjukkan kepada majikan atau penyelia supaya mereka berasa senang hati mendapat pekerja yang cemerlang dan tidak mustahil penilaian kepada pelajar tersebut akan cemerlang dan mendapat penghargaan daripada penyelia.

- MOHD AFANDI MUSTAPHA
PEGAWAI PSIKOLOGI
POLITEKNIK MUADZAM SHAH, PAHANG

~Sinar Harian~

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: