#ALFATIHAH~Suami isteri maut kemalangan di Johor

Keadaan kereta mangsa selepas terlibat dalam kemalangan petang kelmarin.

KOTA TINGGI - Sepasang suami isteri maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 48 Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran Ladang Getah Malaysia (LGM) Jalan Mawai di sini, petang kelmarin.

Mangsa, Abdul Sidek Selamat, 61, dari Felda Tenggaroh 1, Mersing, bersama isteri, Siti Mariam Hamid, 54, difahamkan dalam perjalanan menuju ke bandar Kota Tinggi untuk servis kenderaan mereka.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, kemalangan tersebut melibatkan kereta Proton Wira dinaiki kedua-dua mangsa dengan sebuah kereta jenis Toyota Vios.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, dipercayai Proton Wira yang dalam perjalanan dari Mersing menghala ke Kota Tinggi hilang kawalan lalu terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung Toyota Vios.

“Akibat kemalangan, pemandu dan penumpang depan Proton Wira meninggal dunia di tempat kejadian, manakala, pemandu Toyota Vios dan penumpang depan tidak mengalami kecederaan.

“Bagaimanapun, penumpang belakang sebelah kanan Toyota Vios cedera ringan dan penumpang belakang sebelah kiri kereta sama pula cedera parah dan dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT),” katanya.

Tambahnya, hasil siasatan mendapati, tempat kejadian merupakan laluan selekoh tajam serta jalan dua hala. Ketika kejadian, keadaan cuaca baik dan terang,” katanya lagi.

Seramai lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa.

Dalam pada itu, anak Siti Mariam, Junaidah Badri, 26, berkata, ibunya baru melangsungkan perkahwinan bersama bapa tirinya pada 21 Februari lalu.

“Selepas berkahwin, ibu tinggal di Felda Tenggaroh 3. Pagi tadi (semalam) ibu sempat buat kuih rempeyek dan ada beritahu bila siap dia mahu ke Kota Tinggi bersama ayah untuk servis kereta.

“Mereka bergerak selepas Zohor, tapi tak lama kemudian saya diberitahu mereka terlibat kemalangan,” katanya.

Jenazah mangsa dituntut secara berasingan. Jenazah Abdul Malek dikebumikan di Felda Tenggaroh 1, sementara jenazah Siti Mariam dikebumikan di Felda Tenggaroh 3.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: