#GST~Harga kad prabayar tetap ditambah 6%?

CYBERJAYA - Isian semula telefon prabayar akan terus dijual dengan dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Seri Dr Halim Shafie berkata, isian semula RM10 sebagai contoh akan dijual pada harga RM10.60 termasuk GST enam peratus.

Halim dalam kenyataan yang dikeluarkan SKMM berkata, agak mustahil‎ untuk pembekal perkhidmatan melaksanakan perubahan dalam masa dua hari dengan kembali kepada kadar pra-GST bermula 1 Mei, seperti yang diminta.

"Masalah untuk kembali kepada kadar pra-GST adalah kerana kerumitan untuk membuat konfigurasi semula kepada sistem, bukan hanya di pihak pembekal perkhidmatan bahkan juga bagi ejen pihak ketiga seperti institusi kewangan, pembekal pembayaran elektronik, pasar raya, stesen minyak dan ejen jualan lain yang berjumlah kira-kira 30,000," katanya.

Halim berkata ia juga melibatkan kos yang besar bagi pihak pembekal perkhidmatan dan ejen-ejen pihak ketiga selain stok baharu kad prabayar perlu dikeluarkan dan diagihkan ke seluruh negara.

Kenyataan SKMM itu dikeluarkan selepas Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri‎ Khazali Ahmad dalam satu sidang media sebelum itu yang dilaporkan mengumumkan harga kad prabayar kembali kepada harga asal seperti sebelum pelaksanaan GST,‎ mulai 1 Mei.

Ini bermakna, jika kad prabayar itu bernilai RM10 maka pengguna akan membayar RM10 mulai 1 Mei, katanya.

Menurut Khazali, beliau sendiri sudah mengarahkan kesemua empat syarikat telekomunikasi untuk mengekalkan harga asal berdasarkan kepada konsep 'tax inclusive' berkuat kuasa 1 Mei dalam satu surat semalam (28 April).

Halim berkata MCMC meminta keputusan lanjut mengenai perkara itu hanya dibuat selepas syarikat pembekal perkhidmatan selesai membuat kajian penilaian sama ada pelanggan memilih nilai isian semula yang lebih rendah selepas GST dikenakan atau sebaliknya. - Bernama

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: