#INFO~Jangan buat-buat tak tahu ancaman dunia siber!

KEADAAN di dalam rumah senyap-sunyi. Di meja makan, anak perempuan berusia 16 tahun sibuk dengan laptop lama, mungkin melayari Faceook atau Instagram atau apa sahaja halaman sosial yang sedang menjadi kegilaan buat masa kini.

Sementara adik lelakinya yang berusia 10 tahun menghabiskan masa di dalam biliknya.

Ibu bapa berfikir mungkin anak lelakinya itu sedang tidur atau leka dengan permainan di tabletnya.

Apa pun, senario ini melegakan ibu bapa kerana anak mereka ada di dalam rumah dan dalam keadaan selamat.

Ibu bapa yang beranggapan begini diharap berfikir semula!

Mungkin benar anak ada di rumah tetapi gajet yang ada di tangan mereka itu adalah ‘pintu’ kepada dunia yang lain.

Pintu itu membuka laluan kepada pelbagai kemungkinan dan mendedahkan mereka kepada orang asing serta kenalan yang berniat jahat.

Tambahan, mereka juga terdedah kepada pelbagai visual dan maklumat yang tidak disaring.

Baik buruk internet

Memang tidak dapat dinafikan Internet memberi banyak manfaat kepada manusia.

Mereka boleh mengakses sebanyak mungkin maklumat, kebudayaan, komunikasi serta hiburan.

Peluang ini sudah tentu menggalakkan daya kreativiti dan melahirkan peluang dalam setiap sudut kehidupan.

Malangnya, Internet juga mempunyai keburukan kerana ia mengandungi ancaman terutamanya kepada golongan kanak-kanak dan remaja.

Pembuli siber, pornografi, keganasan, penderaan perkauman dan penipuan kini adalah ancaman serius bagi mereka yang melayari Internet.

Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah dipetik sebagai berkata, “ ancaman itu adalah benar.”

Menurut Rohani, Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia telah memaklumkan kepada beliau kes bunuh diri dan membahayakan diri sendiri yang melibatkan kanak-kanak akibat buli siber serta ketagih permainan siber.

“Ini adalah ancaman serius tetapi kita selalu buat tak endah. Kanak-kanak pada usia muda telah terdedah kepada bahaya ini yang mungkin juga boleh membahayakan nyawa mereka atau menyebabkan kemurungan,” katanya.

Didik anak

Ibu bapa perlu sedar risiko-risiko ini dan selalu perhatikan anak mereka sewaktu mereka dalam talian.

Bagaimanapun, dalam situasi ini dengan gajet yang serba-serbi canggih, kemampuan ibu bapa untuk melindungi anak mereka juga terbatas.

Kanak-kanak mengguna telefon mobil atau gajet lain hampir saban waktu untuk mengakses media digital dan ini menyukarkan ibu bapa memantau kegiatan mereka.

Phenny Kakama, Pegawai Kanan Perlindungan Kanak-Kanak UNICEF, menegaskan kanak-kanak sendiri perlu memainkan peranan penting dalam soal keselamatan dalam talian.

Kanak-kanak perlu tahu untuk melindungi diri mereka serta rakan sebaya mereka.

“Kanak-kanak perlu tahu risiko dan bagaimana untuk mengelakkannya. Mereka perlu kemahiran untuk membuat pilihan dalam kegiatan ruang siber dan saling bantu-membantu,” katyanya.

Phenny percaya kanak-kanak juga berperanan sebagai pendidik rakan sebaya, mentor dan penasihat.

“Bagaimanapun, orang dewasa perlu menyediakan rangka kerja bagi menjamin persekitaran dalam talian yang lebih selamat,” tambahnya.

Tanggungjawab, penggunaan positif internet

Dengan 17.5 juta pengguna Internet di negara ini, ibu bapa dan anak perlu dididik dan dilengkapkan dengan pengetahuan yang perlu mengenai keselamatan siber supaya mereka dilindungi apabila dalam talian.

Selaras dengan Matlamat Dasar Negara yang terkandung dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) giat mempromosi penggunaan positif Internet termasuk akses yang bertanggungjawab untuk kandungan yang bersesuaian.

“Kami maklum bentuk Internet kerap berubah dan tidak realistik untuk cuba mengawal semua orang. Kami sering menekankan pentingnya kepada pengguna mengawal diri sendiri,” kata Ketua Bahagian Jangkauan dan Penglibatan SKMM, Eneng Faridah Iskandar.

Menerusi program Klik Dengan BijakTM (KDB) yang dilancarkan pada Julai 2012, SKMM berharap dapat mendidik dan meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan dan penggunaan positif Internet di samping mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati akan jenayah siber.

Menurut Eneng, meskipun SKMM tidak mengendalikan kes yang melibatkan kanak-kanak sebagai mangsa atau pelaku jenayah dalam talian yang serius, pihaknya ada menerima sejumlah kecil aduan berkaitan dengan salah guna dalam talian melibatkan kanak-kanak.

“Dalam kebanyakan kes, kami akan memberi nasihat bagaimana untuk mengendalikan kes ini.

“Untuk maklumat anda, SKMM telah menubuhkan ‘Biro Aduan SKMM’ untuk menerima dan mengendalikan aduan berhubung perkhidmatan komunikasi dan multimedia,” kata Eneng.

Sementara itu, berhubung keselamatan kanak-kanak di alam siber, Persidangan Serantau Mengenai Perlindungan Kanak-Kanak Secara Dalam Talian akan diadakan pada 24 dan 25 Mac di Hotel Marriot Putrajaya.

Antara lain, persidangan ini bertujuan mendidik mereka yang berkepentingan seperti ibu bapa, sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan berhubung keselamatan kanak-kanak di alam siber. - Bernama

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: