#PARLIMEN~Pindaan jadikan Akta Hasutan lebih teruk

Pindaan terhadap Akta Hasutan dilihat membawa lebih banyak keburukan berbanding peruntukan dalam undang-undang sedia ada.

Peguam Syahredzan Johan berkata, kebanyakan pindaan hanya bertujuan memberi lebih kuasa kepada kerajaan dalam menyekat kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Pindaan ini lebih banyak keburukan daripada kebaikan dan membuatkan Akta Hasutan lebih teruk daripada dahulu. Misalnya di bawah pindaan, sabitan di bawah akta ini tidak boleh lagi didenda dan kini dikenakan dengan penjara sekurang-kurangnya tiga tahun.

“Apakah sebab pindaan ini dibuat yang secara natijahnya mengeluarkan budi bicara mahkamah di dalam menghukum seseorang yang disabit dengan Akta Hasutan?,” katanya.

Semalam, pindaan Akta Hasutan 1948 diluluskan selepas kira-kira 14 jam dibahaskan di peringkat dasar dan jawatankuasa di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Syahredzan berkata, tiada sebab untuk mewujudkan hukuman minimum sementara denda tidak lagi dijadikan hukuman.

“Pindaan terhadap hukuman ini akan memberi impak besar kepada individu yang disabit, terutama anak-anak muda. Masa depan mereka akan kelam kerana akan dipenjarakan selama tiga tahun.

“Begitu juga kepada ahli parlimen dan Adun yang akan hilang kerusi mereka secara automatik jika disabitkan bersalah,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pengguna internet juga bakal berdepan masalah besar kerana pindaan Akta Hasutan menjadikan satu kesalahan bagi menyebarkan sebarang penerbitan menghasut walaupun tiada niat menghasut.

“Contohnya jika sesuatu imej disebarkan melalui Twitter dan didakwa sebagai menghasut. Mereka yang ‘retweet’ (berkongsi) imej tersebut juga akan melakukan kesalahan walaupun bukan pembuat penerbitan menghasut,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, masih terdapat kebaikan daripada pindaan itu antaranya kritikan terhadap kerajaan dan pentadbiran keadilan tidak lagi dijadikan kecenderungan menghasut.

Namun, katanya, kerajaan tidak harus menggunakan alasan mengekalkan Akta Hasutan kerana mahu menjaga keharmonian awam.

“Jika diteliti sebenarnya terdapat banyak undang-undang lain yang boleh digunakan untuk menjaga keharmonian yang lebih baik daripada Akta Hasutan,” katanya.

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: