#SENSASI~Najib tak jawab soalan saya kata Tun M

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau akan berasa bersalah jika kehilangan duit rakyat dan ketidakadilan terus disembunyikan daripada pengetahuan umum.

Katanya, walaupun beliau bersendirian menuntut jawapan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam beberapa persoalan, namun ia menjadi tanggungjawabnya untuk bertanya.

"Saya sedar saya keseorangan. Tetapi jika saya juga berasa bertanggungjawab kepada rakyat salahkah. Apabila duit rakyat hilang dan ini tersembunyi dari rakyat salahkah kalau saya tanya.

"Hakikatnya wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ada di mana masih tidak dijawab, kata Datuk Seri Najib wang itu tidak ada di Cayman Islands. Tetapi dulu mengaku ada di Cayman Islands dan sudah dibawa balik," katanya dalam tulisan terbarunya bertajuk "Soal Tak Jawab" di blog Chedet, semalam.

Sebelum ini, Dr Mahathir dengan lantang mendesak supaya Najib menjawab pelbagai persoalan termasuk kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, kontroversi 1MDB dan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Selepas beliau membuat asakan berulang kali, Najib akhirnya muncul di kaca televisyen menerusi Soal Jawab Bersama Perdana Menteri pada Khamis lepas untuk menjawab kritikan tersebut.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir juga berkata, penjelasan Najib itu hanya menyebabkan rakyat bertambah keliru.

"Jika tidak ada di Cayman Islands, ada di mana? Dari mana datang wang yang separuh dibawa balik dahulu dan separuh dibawa balik untuk disimpan di Singapura.

"Kenapa perlu simpan duit yang bukan dari Cayman Islands dan tidak diguna untuk bayar faedah RM2 billion? Kenapa kerajaan membuat standing credit sebanyak 900 juta?" soalnya lagi.

Bekas Presiden Umno itu juga turut mengulangi persoalannya tentang dalang di sebalik pembunuhan model Mongolia yang tidak dijawab Najib dalam wawancara di televisyen itu.

"Saya hanya bertanya siapa yang memberi arahan kepada Sirul yang dikena hukum bunuh. Saya tidak tuduh Najib.

"Biasanya anggota polis atau tentera tidak tembak mati sesiapa melainkan diserang atau di arah. Ini soal nyawa manusia. Kalau salah, bunuhlah Sirul. Tetapi kalau menjalankan tugas, menurut perintah tidak adil lah jika Sirul dibunuh," tegasnya.

Mengulas isu jambatan bengkok yang ditimbulkan Najib, beliau bagaimanapun berkata Ahli Parlimen Pekan itu cuba mengalih isu daripada menjawab persoalan sebenar.

"Jika kerana jambatan bengkok yang saya marah, saya patut tuntut peletakan Najib sebelum PRU 13. Sebaliknya saya berkempen untuk kemenangan Najib. Kepimpinan Najib di Selangor tidak berkesan," ujarnya.

Serangan ke atas Najib terus dilakukan Dr Mahathir dengan mendakwa sokongan kepada kepimpinan perdana menteri itu oleh beberapa pihak tidak mencerminkan sokongan dalam isu 1MDB.

"Mereka takut. Ada yang tanya saya berkenaan dengan 1MDB dan minta saya buat sesuatu. Sekarang ada ugutan terhadap sesiapa yang tidak menyatakan sokongan kepada Najib.

"Teringat saya kepada ribuan orang yang dibawa berhimpun dan disuruh angkat sepanduk “I love PM” dan menyanyi “I M 4 U”, tapi dalam PRU13 kalah," katanya lagi.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: