#PRK ROMPIN~Keputusan Rompin isyarat jelas kepada BN

SHAH ALAM - Penganalisis politik berpandangan Barisan Nasional (BN) perlu segera membuka mata walaupun parti itu menang pada PRK Parlimen Rompin semalam.

Menurut Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, keputusan PRK Rompin adalah isyarat jelas kepada BN untuk berbuat sesuatu jika tidak mahu mengalami mimpi ngeri pada PRU akan datang.

“Keputusan PRK Rompin menarik. Data di bawah menjelaskan hal ini.

“Jumlah Pengundi (PRU 2013 53,294; PRK 2015 53,596) , perolehan undi calon BN (PRU 2013 30,040; PRK 2015 23,796) – kurang 6,244 undi, perolehan undi calon Pas (PRU 2013 14,926; PRK 2015 14,901) – kurang 25 undi.

"Majoriti undi BN PRU (2013 15,114; PRK 2015 8,895) – kurang 6,219 undi, Sementara peratusan keluar mengundi (PRU 2013 85.89 peratus; PRK 2015 74 peratus)," tulis Agus pada laman sosial Facebook miliknya.

Tambahnya, BN harus memikirkan dengan segala kekuatan jentera dan pengumuman peruntukan yang diberi, majoriti undi yang menurun sebanyak 41 peratus perlu direnung dalam-dalam.

“Ini kerana pengundi Rompin yang selama ini merupakan kubu BN telah menunjukkan sikap protes mereka. Walaupun belum memberikan kemenangan kepada Pas, tetapi mereka telah membunyikan loceng awal untuk menyedarkan pemimpin BN tentang dasar pemerintahannya yang perlu diperbetulkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Agus berkata, oleh itu BN perlu mengubah strategi berkempen, serta perlu memikat segera pengundi muda.

“Pengundi muda pada BN menurun, oleh itu BN perlu mengubah cara berkempen. BN perlukan pemasaran politik baru kerana produk BN dah lama, jika pengundi luar balik mengundi, keuntungan pada Pas dan majoriti makin berkurangan.

"Apa-apapun tahniah BN kerana menang dalam kalah, dan Pas pula kerana kalah dalam menang,” katanya.

PRK Rompin menyaksilan calon BN Datuk Hasan Arifin menang dengan 23,796 undi menewaskan calon Pas, Nazri Ahmad yang menerima 14,901 undi.

Hasan menang dengan majoriti 8,895 undi, menurun berbanding majoriti yang diterima BN pada pilihan raya umum lalu.

Menurut rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah peratusan keluar mengundi bagi PRK P.091 Rompin juga merosot berbanding PRU13 dengan hanya 73 peratus yang keluar mengundi.

Pada PRU13, penyandangnya, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis mengekalkan kerusi Parlimen berkenaan untuk penggal keenam setelah mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

PRK Rompin diadakan berikutan kematian Dr Jamaluddin dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: