#PRIHATIN~Adik Nur Syafikah Perlukan RM220,000 Lagi Untuk Kos Pembedahan Hati

'Mana nak cari RM220,000...'-rintih Zalina Abdul Rahim,ibu Nur Syafikah Dalili

Nur Syafikah Dalili menderita biliary atresia perlukan RM300,000 untuk kos pembedahan hati dan ubatnya di China.

SHAH ALAM - “Allahuakbar...hanya ALLAH sahaja tahu perasaan kami bila lihat Dalili menangis setiap kali muntah dan berak berdarah. Darahnya akan hilang 30 peratus,” rintih Zalina Abdul Rahim, 35, mengenangkan derita ditanggung anaknya, Nur Syafikah Dalili Mohd Razali, 2.

Susulan pendarahan serius sejak 30 Mei lalu, Dalili dimasukkan ke Wad Pediatrik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hingga hari ini, namun doktor nasihatkan pemindahan segera hati kerana tahap kesihatannya sangat kritikal.

“Saluran hati Dalili membengkak. Doktor nasihatkan dalam tempoh terdekat ini kena buat segera pemindahan hati.

“Suami saya Mohd Razali Samsudin, 39, nak dermakan hatinya. Malangnya kami tak mampu sediakan duit lebih RM300,000 untuk pemindahan hati di China,” katanya.

Pelbagai ikhtiar dan usaha dilakukan pasangan suami isteri ini bagi mencukupkan dana pembedahan Dalili termasuk menerima sumbangan orang ramai, namun masih kurang jumlahnya.

“Selepas jual rumah dan kereta termasuk sumbangan orang ramai dana terkumpul baru RM80,000. Mana kami nak cari lagi. Bukan nak salahkan takdir tapi kami memang tak mampu nak sediakan wang sebanyak itu.

“Kami teringin nak tengok Dalili tersenyum dan membesar seperti kanak-kanak lain. Besarlah harapan kami sekeluarga orang ramai sudi hulur bantuan ringankan derita anak kami,” ujarnya sayu.

Dalili menghidap penyakit biliary atresia (kegagalan fungsi hati) sejak usianya tiga bulan.

Lebih malang lagi, penyakit dihidapnya itu mencapai tahap kronik dan perlu menjalani pembedahan secepat mungkin bagi menyelamatkan nyawanya.

“Masa lahir bulan bulan Mei 2013, Dalili sama macam bayi-bayi lain. Tapi dia terkena demam kuning dan penyakitnya tak pernah surut. Setiap kali periksa, tahapnya sentiasa naik. Saya mula risau bila sakitnya berpanjang selepas dua bulan.

“Doktor sahkan hempedunya tak berfungsi kena buang. Tapi, keadaan masih tak berubah bahagian perutnya membengkak. Masa tu baru kami tahu hati Dalili tidak berfungsi dan dia perlukan hati baharu untuk hidup,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Razali yang bekerja sebagai pemandu lori sehabis upaya mengumpul wang agar Dalili dapat dibedah dengan segera.

“Kami jual rumah di Teluk Intan. Tapi hasil cuma RM35,000, sikit sangat. Kemudian saya jual salah satu kereta, tampung dana masih belum cukup.

Menurutnya, kos sebanyak RM300,000 mencakupi pembedahan sebanyak RM150,000 di China, kos perubatan, kos hospital, penginapan dan lain-lain keperluan.

“Kami perlu berulang-alik ke China untuk rawatan susulan setiap enam bulan,” katanya, yang mewujudkan akaun khas di Facebook atas nama ‘Donation for Nur Syafiqah Dalili’.

Dengan pendapatan keluarga RM3,000 sebulan, bagi Mohd Razali sukar untuknya mengumpul RM300,000 dia juga perlu membeli susu khas Dalili membabitkan kos RM1,200 sebulan.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: