#SENSASI~GST rompak rakyat secara berlesen, kata ulama

Dr Mahfodz Mohamed

GOMBAK - Dewan Ulama Pas Pusat menegaskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak menepati ciri keharusan cukai dalam Islam kerana ia membawa kepada kezaliman dan penindasan.

Pemangku Ketuanya, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, menerusi cukai baharu itu, harta rakyat termasuk golongan miskin dirompak secara berlesen sekaligus ia tidak membezakan antara orang kaya dan miskin.

"Semua pihak akan dikenakan cukai apabila berbelanja. Cukai sepatutnya dikenakan kepada mereka yang mempunyai lebihan pendapatan, bukannya kerana mereka yang miskin," katanya dalam ucapan dasar pada Muktamar Dewan Ulama Pas ke-54 di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhamad, Taman Melewar, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mahfodz juga mengulangi pendirian Dewan Ulama Pas bahawa GST bercanggah dengan keharusan percukaian dalam Islam.

Beliau berkata lagi sistem percukaian baharu itu tidak menepati tiga syarat yang mesti dipenuhi untuk mengharuskan pelaksana tersebut.

"Kerajaan berada pada situasi terdesak memerlukan kewangan bagi menguruskan negara.

"Keperluan kewangan itu berlaku bukan kerana ketirisan dan pembaziran pengurusan kewangan sebelum ini.

"Cukai hanya dikenakan kepada mereka yang mempunyai lebihan pendapatan," ujarnya.

Bagaimanapun katanya lagi, kerajaan gagal menepati ketiga-tiga syarat tersebut termasuklah kerajaan tidak berada pada keadaan mendesak kepada sumber kewangan baru.

"Masalah kewangan hari ini disebabkan ketirisan dan pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan.

"Dan cukai sepatutnya dikenakan berasaskan pendapatan, bukannya perbelanjaan. Cukai GST dikenakan berdasarkan perbelanjaan rakyat," katanya lagi.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: