#INFO AGAMA~Tuntutan menjaga solat

SOLAT adalah tunjang dan tiang agama yang mana umat Islam dituntut memeliharanya. Umat Islam disuruh supaya bertakwa dengan mengerjakan ketaatan kepada ALLAH secara amnya dan melakukan solat secara khasnya.

Kita dituntut mendirikan solat, menjaga dan melakukannya dengan khusyuk dan tamakninah. Umat Islam sehingga disuruh untuk mendirikan masjid bagi tujuan ini.

Syarak memberi keutamaan dan kepentingan terhadap solat kerana ia menjadi asas utama ibadah Muslim. Bahkan ia menjadi sumber kebahagiaan seseorang, petunjuk panduan dan tempat berlindung serta memperoleh bantuan di kala susah.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Dan mintalah pertolongan (kepada ALLAH) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat." (Surah Al-Baqarah: 45) "Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati ALLAH adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya)." (Surah Al-Ankabuut: 45)

Begitulah keadaan Nabi Muhammad SAW yang menjadikan solat sebagai tempat Baginda SAW mendapat ketenangan di kala ditimpa kesusahan; dan tempat Baginda SAW mengadu ketika keadaan menjadi sukar.

Tamakninah dalam solat 

Itulah solat. Ia menjadi rukun Islam yang kedua yang menghimpunkan beberapa jenis ibadah yang tidak terhimpun dalam ibadah lain. Ia merupakan penghubung antara seorang hamba dengan Tuhannya dan pembeza antara iman dan kufur.

Memandangkan kedudukan solat begitu tinggi dalam Islam dan agung di sisi ALLAH, wajar bagi kita untuk menjaganya lebih daripada yang lain dan melaksanakannya dengan sebaik mungkin.

Ini kerana seseorang itu tidak akan memperoleh daripada solatnya kecuali yang mana dia memahaminya.

Dan ia tidak akan sah kecuali dengan tamakninah.

Abu Hurairah RA menceritakan Nabi Muhammad SAW dan seorang lelaki masuk ke dalam masjid. Sesudah lelaki itu solat, dia datang kepada Baginda SAW dan memberi salam.

Setelah menjawab salam, Baginda SAW bersabda: "Kembali solat, sungguh engkau belum solat." Ternyata hal ini berulang sampai tiga kali dan setiap kali Nabi Muhammad SAW berkata yang sama: "Kembali solat, sungguh engkau belum solat."

Akhirnya lelaki itu berkata: "Demi yang mengutus engkau dengan kebenaran, aku tidak dapat melakukan lebih baik daripada ini maka ajarlah aku."

Baginda SAW pun bersabda: "Jika engkau hendak solat, maka bertakbirlah, lalu bacalah al-Quran yang mudah bagimu; kemudian rukuklah hingga engkau rukuk dengan tamakninah, lantas angkatlah (kepalamu) hingga engkau berdiri tegak.

Setelah itu sujudlah sampai engkau sujud dengan tamakninah, lalu angkatlah (kepalamu) hingga engkau tamakninah dalam keadaan duduk.

Kerjakanlah yang demikian itu dalam seluruh solatmu." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Hadis di atas menjelaskan wajibnya kita tamakninah dalam solat iaitu diam sebentar dalam rukuk, iktidal, sujud dan duduk. Sesiapa tidak tamakninah dalam solatnya, dia tidak melakukan solat seperti mana yang dikehendaki.

Bahkan kewajipan solat tersebut dikira masih tidak tertunai dan perlu diulangi. Kerana itu Nabi Muhammad SAW melarang solat seperti 'patukan burung gagak' – terlalu cepat sehingga tak ubah seperti burung gagap yang mematuk.

Umat Islam ditegah menyerupai orang munafik ketika mereka solat. Firman ALLAH SWT: "Sesungguhnya orang munafik itu melakukan tipu daya terhadap ALLAH (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir dalam hati), dan ALLAH pula tetap membalas tipu daya mereka.

Mereka apabila berdiri hendak solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka hanya (mahu) memperlihatkan (solat mereka) kepada manusia; dan mereka tidak mengingati ALLAH melainkan sedikit sekali."

(Surah An-Nisaa: 142)

 Imam Ibnu Al-Qayyim menjelaskan mengenai ayat di atas dengan berkata: "Ini adalah enam sifat dalam solat yang menjadi petanda orang munafik.

Iaitu:

(1) Malas mengerjakan solat
(2) Riak menunjuk-nunjuk ketika solat
(3) Melewatkan solat
(4) Solat dengan terlalu cepat (tidak tamakninah)
(5) Tidak menghayati solat yang dikerjakan
(6) Tidak mengerjakannya secara berjemaah,".

Tanpa kita sedar, Nabi Muhammad SAW menjadikan orang yang tidak khusyuk dan tidak tamakninah dalam solat sebagai 'pencuri dalam solat' yang lebih buruk daripada pencuri harta orang lain.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Seburuk-buruk pencuri adalah orang yang mencuri dalam solatnya." Sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah SAW, bagaimana dia mencuri dalam solatnya?"

Kata Nabi SAW: "Dia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya." (Riwayat Ahmad, sahih)

Usah dahului imam 

Juga antara apa yang boleh mencacatkan solat seseorang adalah perbuatan mendahului imam dalam rukuk dan sujud serta perpindahan imam daripada satu rukun ke satu rukun secara amnya.

Nabi Muhammad SAW sehingga mengancam dengan berkata: "Apakah orang yang mengangkat kepalanya sebelum imam tidak takut akan ALLAH menukar kepalanya menjadi kepada keldai." (Riwayat Bukhari & Muslim)

 Dalam solat berjemaah, Nabi Muhammad SAW menjelaskan: "Sesungguhnya imam dijadikan untuk
diikuti." (Riwayat Abu Daud, sahih)

Hadis di atas bermaksud makmum tidak boleh mendahului imam, bersaing mahupun lewat dalam mengikuti pergerakan imam.

Maka hanya sesudah imam melakukan takbiratul ihram barulah makmum boleh melakukannya. Begitu juga dalam rukuk, sujud dan perpindahan ke rukun yang lain. Dan sepertimana tidak boleh mendahului imam, makmum juga dilarang bersaing ataupun lewat dan mengikuti pergerakan imam.

Maka sejurus selepas imam berpindah ke satu rukun, hendaklah makmum terus melakukan hal yang sama walaupun bacaan sama ada al-Quran, zikir, doa atau tasyahhud belum selesai.

Sering kita lihat jemaah dalam solat lambat dalam melakukan takbiratul ihram gara-gara kata mereka kerana hendak 'pasang niat' sehingga berulang-ulang kali takbiratul ihram dibaca.

Tidak kurang salahnya apabila makmum masih terus membaca surah walaupun imam sudah rukuk. Tidak dinafikan bacaan Al-Fatihah adalah wajib, tetapi hakikatnya kewajipan mengikuti imam perlu didahulukan dalam hal ini berdasarkan keumuman hadis Nabi SAW: "Sesungguhnya imam dijadikan untuk diikuti."

Tidakkah kita lihat apabila makmum yang masbuk mendapati imam sedang rukuk maka hendaklah dia terus rukuk (sesudah melakukan takbiratul ihram secara berdiri)?

Bagaimana pula dengan kewajipan membaca Al-Fatihah untuk rakaat tersebut? Jawapannya, kewajipannya terangkat kerana mendahulukan kewajipan mengikuti imam.

Begitu juga ketika imam bangkit daripada rukuk dan sujud, hendaklah makmum terus ikut imam dengan melakukan hal yang sama walaupun masih belum habis membaca zikir atau doa.

Dan ketika imam tamat solat dan memberi salam, makmum juga perlu turut sama memberi salam walaupun belum habis membaca tasyahhud.

Jika kewajipan membaca al-Fatihah tergugur ketika makmum ikut imam rukuk, begitu juga dalam hal ini.

Kewajipan ikut imam memberi salam didahulukan atas kewajipan menghabiskan bacaan tasyahhud. Wajarlah kita menjaga solat dengan mengerjakannya pada waktunya dan melakukannya sepertimana yang dikehendaki oleh Nabi Muhammad SAW tanpa sebarang tokok tambah mahupun pengurangan atau perubahan.

Bertepatan dengan sabdanya: "Solatlah kamu sepertimana kamu lihat aku solat." (Riwayat Bukhari & Muslim)

 Demikian wasiat terakhir Nabi Muhammad SAW sebelum Baginda SAW menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Baginda SAW mengucapkan: "Jagalah solat, jagalah solat; dan apa yang di bawah tanggunganmu." (Riwayat Abu Daud, sahih)

Bahkan solat menjadi aspek terakhir pada seorang Muslim.

Jika ia hilang maka hilanglah Islam dan agama orang itu. Pentingnya solat, ia juga menjadi urusan pertama yang akan disoal di akhirat kelak. Jika solatnya baik, maka baiklah segala amalnya yang lain. Dan jika rosak, maka rosaklah amalnya yang lain.

USTAZ IDRIS SULAIMAN
(Ahli Majlis Syura Pertubuhan Ilmuan Malaysia)[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: