#MUALLAF~Petisyen raya Muslim bokia

XIFU NASER

“JIKA kamu peluk agama badut itu, get out!” teriak seorang ayah yang memberi amaran kepada anaknya supaya tidak 'murtad' dari agamanya.

“Kalau kamu tukar saja nama ayah kamu, kamu bukan lagi anak kami. Ingat! Kamu yang buang nama keluarga. Buang nama maknanya buang keluarga!” tegas ayah yang kecewa.

“Ayah, saya pilih agama baharu ini kerana ia agama yang bermoral,” anaknya berusaha jelaskan. Hatinya amat sayang pada ibu dan ayahnya yang telah selama ini berkorban dan menjaganya sehingga menjadi seorang yang berpendidikan.

“Ibu kamu berkorban nyawa mengandungkan kamu. Ayah bekerja siang malam supaya kamu tak perlu risau tentang belanja dan pendidikan. Tapi inikah balasan kamu? Inikah ajaran moral yang diajar oleh agama kamu? Buang keluarga demi Bin Abdullah?” air mata seorang ayah yang tegas akhirnya tidak mungkin ditahan lagi. Apatah lagi emosi ibu yang kini sudah meraung. Mata seorang adik yang selama ini menganggap abangnya seorang hero akhirnya bertukar menjadi 'monster'!

“Adik, abang tak akan kecewakan kamu. Ayah, ibu, saya akan buktikan saya akan menjadi seorang yang lebih berjaya. Ini bukan agama badut! Bagilah saya peluang,” anak tetap mempertahankan agamanya.

“Baik, mulai hari ini, kamu jangan balik rumah ini lagi. Jangan telefon kami lagi. Jangan hubungi langsung kami. Kalau nampak kami di mana-mana, jangan tegur kami. Kami tak kenal kamu,” ayah memberi amaran paling serius dalam hidupnya.

“Kamu jangan balik rumah sehingga kamu buktikan bahawa agama kamu mampu menjadikan kamu orang yang berjaya! Selagi kamu badut, selagi itu jangan balik rumah! Jangan kata ayah tak beri kamu peluang. Ini pilihan kamu. Sekarang, get out!”

Inilah senario yang biasa berlaku dalam kalangan muhajirin. Ya, mereka ini adalah muhajirin. Bukan mualaf. Perkataan mualaf diberi kepada mereka yang perlu dijinakkan hati kepada Islam kerana iman mereka masih badut. Persoalannya adakah senario di atas menunjukkan iman mereka ini tahap badut yang bergelar mualaf?

Bila mereka digelar mualaf, maka bantuan yang diberi kepada mereka hanya ikan bilis kerana kita tidak memandang mereka sebagai tokoh, reformis, pejuang yang bakal mentajdidkan budaya negara. Kita hanya beri mereka bantuan zakat sekadar untuk survival atau sagu hati, bukan untuk mengislahkan landskap pemikiran lapuk ala Bin Abdullah.

Ruangan yang kita paling gemar beri kepada mualaf ini ialah ruangan hidayah “Mengapa saya peluk Islam”, ruangan untuk memenuhi perasaan ingin tahu daripada mereka yang lahir Muslim tentang apa yang memotivasikan mereka untuk memeluk Islam. Ruangan-ruangan yang lain adalah seperti apa perasaan kamu pada kali pertama puasa, kali pertama shahadah, kali pertama solat.

Jarang sekali kita beri peluang kepada mereka untuk menyuarakan pendapat mereka tentang bagaimana menjaga Maqasid Syari’ah: bagaimana memajukan institusi islah dan dakwah yang menjaga agama, institusi hak kemanusiaan yang menjaga jiwa, institusi pendidikan yang membangunkan akal, institusi ekonomi yang melaburkan harta, institusi keluarga yang menjaga nasab dan institusi media yang membina maruah.

Bagi saya, mereka yang mampu berdiri sendiri menghadapi senario yang saya lakarkan di atas adalah Muslim Bokia (tidak takut), bukan fobia kerana dayus iman. Mereka bokia (tidak takut) minum holy water dan tidak takut pada angka 4! 'Solid' keimanan mereka walaupun sehari memeluk Islam. Mereka ini bukan mualaf dan bukan Bin Abdullah! Mereka patut digelar Muhajirin.

Dalam sejarah, muhajirin diberi bantuan harta dan moral yang terlalu besar oleh Ansar sehingga Islam nampak agung dan mampu melahirkan hero-hero multikultural yang bersifat bokia dalam mempertahankan Islam. Mereka yang telah terbukti sebagai muhajirin tidak patut diberi zakat mualaf. Bahkan mereka patut diberi bantuan yang jauh lebih besar sebagai tokoh-tokoh negara yang memberi impak makro kepada semua rakyat.

Walaupun ramai muhajirin akan beraya tanpa keluarga tersayang di sisi. Bersifat bokialah. Hasbunallah. Cukup ALLAH SWT bagi kami. Taqabbalallaahu minnaa wa minkum. Selamat Hari Raya Bokia.

* Abdul Naser Tun Rahman Tokoh Pendakwah Perak/AJK Macma[SH]


Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: