#RONA KEHIDUPAN~Ibu tunggal gigih jaga 5 anak

Sarimah bersama anak keempatnya, Mohamad Iqmal Arbain, 13, yang kini menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tun Razak.

KERATONG 4 - Kemahiran menjahit menjadi sumber rezeki kepada seorang ibu tunggal lima anak untuk menampung keperluan hidup terutamanya persekolahan anak-anak.

Sarimah Hashim, 46, berkata, perpisahan yang berlaku antara dia dan bekas suami tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan kehidupan walaupun terpaksa memikul tugas sebagai ibu dan bapa sekali gus.

Menurutnya, kejayaan anak sulungnya menamatkan pengajian dalam bidang Grafik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam turut memberi harapan kepada mereka sekeluarga untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa pada masa akan datang.

“Sejak bergelar ibu tunggal, saya mula serius ambil upah menjahit baju daripada kawan, jiran serta orang ramai yang ingin mendapatkan khidmat saya.

“Walaupun mungkin hasil yang diperoleh tidaklah lumayan, tapi ia masih dapat tolong saya dan anak-anak menjalani kehidupan yang kian menuntut perbelanjaan yang besar,” katanya.

Sarimah berkata, sejak beberapa bulan lalu dia menerima jumlah tempahan yang lebih banyak berbanding bulan biasa kerana ramai yang menghantar baju raya mereka untuk dijahit.

“Rezeki di bulan Ramadan ini dimanfaat sebaik mungkin bagi menyediakan kelengkapan anak-anak, tapi kenalah sederhana juga sebab kena berjimat untuk keperluan yang lebih penting.

“Apa yang diharapkan ialah semua anak saya mendapat pendidikan yang sempurna sebab hanya ilmu dan agama yang mampu mengubah kehidupan kami ke tahap lebih selesa dan sempurna," katanya.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: