#SENSASI~Derma, ringgit jatuh lagi penting dari anak panda

IR. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN

SHAH ALAM - Pemuda Pas Wilayah Persekutuan menggesa kerajaan menyegerakan proses siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) terhadap skandal derma dan mengambil langkah mengawal kejatuhan mata wang negara.

Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Ir Khairil Nizam Khirudin dalam satu kenyataan berkata, banyak isu-isu utama yang perlu diselesaikan bukannya memberi perhatian terhadap kelahiran anak panda di Zoo Negara.

Sehubungan itu, beliau berpendapat Jawatankuasa Konsultatif Nasional mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) yang disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini tidak perlu disegerakan.

“Kami mengalu-alukan kepentingan penubuhan JKNMPP tetapi ia tidak perlu disegerakan buat masa ini. Inisiatif berkenaan hanya ditimbulkan oleh perdana menteri 14 Ogos lalu setelah pendedahan ‘skandal derma’ RM2.6 bilion didepositkan ke akaun peribadinya baru-baru ini.

“Walhal, apa yang lebih penting sekarang ialah ruang perlu diberikan seluas-luasnya kepada SPRM untuk mendapatkan keterangan daripada perdana menteri berhubung ‘derma’ tersebut. Ia jelas bahawa ‘derma’ tersebut masih meragukan dan terbuka kepada tafsiran istilah suapan yang termaktub dalam Seksyen 3, Akta SPRM 2009,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jumaat lalu, Najib mengumumkan penubuhan JKNMPP bagi merangka satu pelan pembiayaan politik berintegriti yang komprehensif dan inklusif.

JKNMPP katanya akan menghasilkan pelan tindakan pembiayaan politik berintegriti melalui pembaharuan dan penambahbaikan undang-undang yang diperlukan dalam tempoh setahun, dan seterusnya dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

Khairil Nizam yang juga Naib Ketua Pemuda Pas Pusat berkata, Najib perlu berani memanggil sidang khas Dewan Rakyat bagi meluluskan pelantikan pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara yang baharu dan pembentangan laporan interim siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disiapkan oleh Jabatan Audit Negara.

“Bank Negara Malaysia juga telah menyerahkan kertas siasatan kepada Peguam Negara berhubung skandal 1MDB. Maka, mengapa kesemua isu utama ini sengaja dilengahkan dan dikaburkan daripada pengetahuan rakyat?,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menyatakan kebimbangan terhadap kejatuhan mata wang yang teruk namun tiada langkah konkrit diambil kerajaan dalam menstabilkan nilai mata wang kita.

“Rakyat juga sangat bimbang dengan kejatuhan teruk nilai Ringgit Malaysia yang telah berlegar sekitar RM4.15 berbanding dolar. Sehingga ke hari ini, tidak ada satu jaminan atau langkah konkrit kerajaan untuk menstabilkan nilai ringgit. Ini termasuklah krisis keyakinan pelabur antarabangsa dalam pasaran domestik serta kemerosotan nilai dagangan eksport sehingga pertengahan tahun ini.

“Ini adalah isu-isu yang lebih utama untuk diselesaikan. Bukannya menyegerakan proses legitimasi pembiayaan dana politik, memainkan propaganda menggulingkan kerajaan dan memerhati perkembangan kelahiran baru anak panda Liang Liang di Zoo Negara.

“Kami melihat tren politik yang cuba direncanakan ini hanya untuk menyelamatkan kepentingan pihak tertentu dalam Umno sehingga mengabaikan maslahah rakyat dan negara,” katanya.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: