#SENSASI~Wujud pakatan di sebalik sumbangan RM2.6 bilion?‎-Rafidah Aziz

Rafidah Aziz

SHAH ALAM – Bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz mempersoalkan sama ada wujud pakatan tertentu di sebalik sumbangan RM2.6 bilion ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, wang ringgit dilihat seolah-olah begitu penting sehingga memerlukan penderma asing untuk menggerakkan parti.

“Persoalan saya ialah apa agaknya pakatan-pakatan tertentu di sebalik sumbangan tersebut? Apa agaknya yang dijanjikan kepada mereka (penderma)?

“Pendekatan apa agaknya yang dijangka dan diharapkan oleh penderma yang sanggup menderma wang sebegitu besar jumlahnya?” soal beliau dalam satu kenyataan, semalam.

Rafidah yang juga bekas menteri Kabinet turut mempersoalkan sama ada sumbangan itu akan menyebabkan kerajaan terhutang budi kepada penderma dan membolehkan kerajaan dipengaruhi pihak luar.

“Umno adalah parti tunjang kerajaan BN. Mempengaruhi Umno akan bererti mempengaruhi kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mendakwa politik wang telah menjadi kebiasaan dalam Umno dan menjadi masalah yang begitu serius.

“Sebenarnya, setiap ahli Umno wajar merasakan isu RM2.6 bilion sebagai masalah mereka sendiri. Ia pada asasnya memaparkan bagaimana politik wang dalam Umno telah mencapai satu tanda aras tinggi yang baru.

“Bagaimana wang ringgit telah menjadi penggerak tunggal untuk kerja berjalan di peringkat akar umbi. Ia merupakan corak dan ciri-ciri budaya politik Umno pada masa sekarang dan menuju ke hadapan,” katanya.

Katanya, politik wang ini bukan saja menghancurkan keperibadian parti tetapi juga akan merosakkan semangat juang, berusaha dan berkhidmat dalam kalangan pemimpin parti.

“Pemimpin Umno di semua peringkat mesti menerima dan mengambil sedikit sebanyak tempias isu wang dalam akaun presiden itu. Pasti sebahagian wang tersebut telah turun ke akar umbi dan tentu ramai yang telah sama-sama 'merasa'.

“Atau tidakkah kita patut menolak gejala politik wang supaya siapa juga yang dipilih sebagai pemimpin, adalah yang benar-benar berkemampuan untuk berkhidmat,” katanya.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: